Ratu Naga bukan Ahli Lembaga Pengarah SKM

218

13 OKT: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menafikan pihaknya telah melantik ‘Ratu Naga’ atau nama sebenarnya, Syarul Ema Rena Abu Samah sebagai ahli Lembaga Pengarah yang baharu.

Unit Hal Ehwal Antarabangsa dan Komunikasi Korporat SKM dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya telah mendapat maklumat palsu tersebut semalam selepas menerima makluman daripada orang awam.

Menurutnya, hebahan yang dilakukan menerusi laman Facebook yang menggunakan nama Srikandi Malaya itu kini telah tular dan tersebar dalam laman media sosial dan aplikasi WhatsApp.

“Berdasarkan kepada semakan SKM, posting atau hebahan tersebut adalah tidak benar sama sekali.

“Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan posting atau hebahan di dalam Facebook tersebut,” katanya.

SKM memberitahu, jika terdapat sebarang kemusykilan, orang ramai boleh menghubungi SKM melalui aplikasi WhatsApp Online di 0192445339 atau e-mel kepada [email protected] – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.