PRK Parlimen Batu Sapi 5 Disember

120

13 OKT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan bahawa hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Batu Sapi akan diadakan pada 5 Disember ini.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, hasil keputusan mesyuarat khas SPR hari ini menetapkan bahawa satu PRK perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan selaras dengan Perkara 54 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan.

“SPR menetapkan tarikh penamaan calon pada 23 November 2020 manakala 1 Disember 2020 adalah tarikh bagi mengundi awal.

“Tempoh berkempen ditetapkan selama 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding hingga jam 11.59 malam, 4 Disember nanti,” katanya dalam sidang media di Menara SPR, Putrajaya, hari ini.

Abdul Ghani Salleh
ABDUL GHANI SALLEH

Kerusi berkenaan kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober lepas dipercayai akibat jangkitan paru-paru.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Vui Keong yang mewakili Parti Warisan Sabah (Warisan) memenangi kerusi Parlimen Batu Sapi dengan majoriti 4,619 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Setakat ini, Barisan Nasional (BN) dan Parti Cinta Sabah (PCS) telah mengumumkan tidak meletakkan calon bertanding dalam PRK tersebut. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.