PAS nafi 2 Ahli Parlimen sokong Anwar

142

13 OKT: PAS menafikan dakwaan kononnya dua Ahli Parlimen dari parti itu menyokong komplot Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun negara ini mengamalkan demokrasi dan semua pihak mempunyai hak dari segi Perlembagaan, dalam situasi COVID-19 yang melanda negara ketika ini, soal itu perlu diketepikan.

Walau bagaimanapun, menurut beliau, PAS bersedia menghadapi apa juga kemungkinan jika berlaku peralihan kuasa.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
TUAN IBRAHIM TUAN MAN

“Saya baca beberapa analisis dibuat sebahagian besar rakyat cakap sudah bosan dengan situasi berlaku.

“Dalam situasi COVID-19 yang melanda negara dan ekonomi belum pulih, rakyat berdepan tekanan hingga keutamaan kita seharusnya pada isu membabitkan kepentingan rakyat daripada isu kecamuk politik tidak selesai,” katanya kepada media selepas melawat kejadian tumpahan minyak di Pantai Cermin, Port Dickson, hari ini.

Semalam, sebuah portal melaporkan terdapat dua ahli parlimen PAS dikatakan akan turut memberi sokongan kepada Anwar dalam komplotnya itu.

Sementara itu, Tuan Ibrahim memberitahu, PAS mengambil pendekatan tunggu dan lihat apa yang bakal berlaku selepas 13 Oktober ini.

Tambahnya, seramai 18 Ahli Parlimen PAS tetap menyokong penuh kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

“Kita payah nak jangka dan ketika ini semua memerhati cuma tengok dari segi dia (Anwar) mendakwa sudah cukup bilangan untuk capai majoriti kukuh.

“Parti politik yang nama (Ahli Parlimen mereka) disenaraikan sudah buat laporan polis. Berdasarkan laporan yang ada, rasa macam tidak mungkin, tetapi kita akan tengoklah.

“Mengenai senarai Kabinet termasuk nama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang ditularkan, ia antara paling tidak munasabah di dunia,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.