Mahkamah arah keluarkan sebahagian keterangan pegawai SPRM

216

13 OKT: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bersetuju bahawa apa sahaja keterangan saksi yang berbentuk pendapat dan rumusan dalam perbicaraan kes yang membabitkan presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hendaklah dikeluarkan.

Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas mendengar hujahan peguambela, Hisham Teh Pok Teik dalam perbicaraan kes Ahmad Zahid yang menghadapi pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah (CBT) dana Yayasan Akalbudi.

Hisham membantah beberapa perenggan dalam keterangan bertulis saksi ke-89, Pegawai Penyiasat (IO), Fairul Rafiq Hamiruddin kerana ia bersifat mendahului mahkamah, tidak boleh diterima dan prejudis terhadap anak guamnya.

Hakim berkata mahkamah bersetuju bahawa apa sahaja yang berbentuk pendapat dan rumusan dari keterangan-keterangan saksi ke-89 dan sembilan saksi seterusnya tidak boleh diguna pakai.

“Mahkamah bersetuju bahawa apa sahaja keterangan dari keterangan IO (yang mengatakan pendapat dan rumusan (daripada hasil siasatan siasatan terdapat rasuah atau jenayah) perlu dikeluarkan secara keseluruhan. Perintah ini terpakai untuk semua pegawai penyiasat,” katanya.

Beliau juga bersetuju dengan Hisham bahawa keterangan seumpama itu bersifat mendahului hakim.

Terdahulu, Hisham dalam hujahannya berkata keterangan saksi ke-89 itu prejudis dan merosakkan nama baik anak guamnya.

Malah, Hisham memohon mahkamah untuk mengarahkan pasukan pendakwaan mengemukakan keterangan bertulis yang baharu.

Namun, hakim berkata adalah memadai untuk memadamkan sahaja keterangan-keterangan bertulis yang berkaitan daripada membuat keterangan baharu untuk mengelak membuang masa.

Dalam hujahannya Hisham berkata, dalam keterangan bertulisnya, saksi ke-89 secara terus menyatakan bahawa Ahmad Zahid telah menerima/melakukan rasuah sedangkan hanya mahkamah sahaja yang boleh menentukan sama ada sesuatu kesalahan itu dilakukan atau sebaliknya.

Keterangan itu menyebut, “Oleh yang demikian, saya menyatakan bahawa OKT sebagai Menteri Dalam Negeri yang meluluskan pelantikan Profound Radiance sebagai Pengendali OSC Nepal dan Pakistan telah menerima suapan secara rasuah daripada penama Azlan Shah.”

Hisham berhujah, keterangan seperti itu tidak boleh diberikan oleh seseorang pegawai penyiasat dan hanya mahkamah yang boleh memutuskan.

Maka keterangan itu tidak boleh diterima mahkamah dan perlu dikeluarkan dari keterangan bertulis saksi.

“Malah Azlan Shah (saksi-38) dalam keterangannya telah menyatakan bahawa tidak ada elemen rasuah di dalam pemberianna yang mana di cheque butt ditulis ‘charity’.

“Keterangan ini di kategorikan sebagai pendapat kerana tidak ada apa-apa keterangan di hadapan mahkamah ini berkenaan pemberian ini adalah rasuah. Selain keterangan ini mendahului mahkamah, keterangan seperti ini adalah tidak boleh diterima. Kes-kes Mahkamah Agung seperti Alcontara, Lin Lian Chen dan sebagainya dirujuk,” ujarnya.

Ketua Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran bersama Timbalan Pendakwa Raya, Gan Peng Hoon dan Ahmad Sazilee Abdul Khairi cuba mematahkan hujah Hisham dengan alasan permintaan itu menyekat kebebasan saksi untuk mengemukakan hasil siasatannya.

Malah mereka menyamakan keterangan bertulis itu sama seperti afidavit dan saksi boleh bercakap apa yang beliau percaya.

Tetapi Hisham memintas dengan mengatakan saksi tidak boleh bercakap sesuka hati.

“Ada batasnya apa yang boleh dicakap oleh saksi. Dia tidak boleh bercakap sesuka hati.

“Apabila seorang IO telah melangkaui batasnya sebagai penyiasat dan mula bertindak sebagai seorang hakim, mahkamah perlu berhentikan. Apabila kenyataan seperti itu dibuat, maka ia bersifat prejudis.” – Oleh NOOR HASILAH ISMAIL

Get real time updates directly on you device, subscribe now.