Bantah PKPB, MB Selangor tak matang

122

13 OKT: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilihat bersifat tidak matang apabila mempersoalkan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor bermula esok.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, keselamatan rakyat perlu diutamakan.

“Membangkang harus kena pada tempat dan waktunya.

“Membangkang secara semberono menunjukkan kedangkalan pemimpin dalam memperjuangkan nasib rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

SHAHIR ADNAN
SHAHIR ADNAN

Semalam, Amirudin menyatakkan terkejut dengan pengumuman kawasan baharu pelaksanaan PKPB melibatkan seluruh negeri itu tanpa sebarang perbincangan dengan pihaknya.

Beliau menyatakan langkah itu tidak selaras dengan hasil mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor yang mana hanya kawasan Klang, Gombak, Hulu Langat dan sebahagian Petaling sahaja mempunyai bilangan kes yang membimbangkan.

Oleh itu, kerajaan negeri akan menghantar cadangan balas kepada MKN dengan segera agar dapat diberi pertimbangan semula.

Sementara itu, Shahir menasihatkan agar semua parti politik melaksanakan gencatan politik dan tidak bermain dengan sentimen politik buat sementara waktu ketika negara dilanda gelombang ketiga COVID-19 yang menggerunkan rakyat.

“Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, perlu menumpukan masa, tenaga dan keringat beliau untuk membendung penularan wabak COVID-19,” katanya.

Shahir berkata, jika terdapat usaha menjatuhkan Perdana Menteri bermakna ia akan menyebabkan pembubaran Parlimen, seterusnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Dengan penularan COVID-19 hari ini yang semakin meruncing, PRU adalah langkah yang bakal membahayakan seluruh rakyat Malaysia dan meranapkan ekonomi.

“Lantaran itu, DPIM mendesak kerajaan Perikatan Nasional untuk fokus kepada penyelesaian isu rakyat berkaitan COVID-19 termasuk memperkasakan tenaga kerja barisan hadapan, terutamanya di Sabah.

“Lanjutkan tempoh moratorium sehingga Disember 2020 dan pampasan secara “one-off” kepada pelajar-pelajar pendidikan tinggi dan bantuan bersasar kepada golongan rakyat B40 di negeri-negeri yang dikenakan PKPB,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.