Anwar keluar Istana Negara, sidang media 2 petang

778

13 OKT: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan Istana Negara pada jam 11.30 pagi tadi setelah menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ahli Parlimen Port Dickson itu tiba pada jam 10.25 pagi dan dijadualkan menghadap Seri Paduka pada jam 11 pagi.

Walau bagaimanapun, kereta berwarna hitam yang membawa beliau tidak berhenti sebaik sahaja melepasi Pintu 2 Istana Negara.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menjelaskan, Anwar akan mengadakan sidang media khas di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada jam 2 petang ini.

Beliau menyatakan, sidang media tersebut adalah berkaitan peristiwa Anwar menghadap Seri Paduka pagi tadi.

Pelbagai spekulasi timbul selepas Anwar dalam sidang media 23 September lalu mendakwa kononnya beliau mempunyai sokongan ‘kukuh dan meyakinkan’ daripada Ahli Parlimen untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Rakyat juga tertanya-tanya tentang tujuan sebenar Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong kerana beliau sebelum ini tidak memberi butiran terperinci tentang perkara itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.