Anwar hanya kemuka jumlah MP, tiada senarai nama

1,733

13 OKT: Istana Negara mengesahkan bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah senarai nama Ahli-ahli Parlimen untuk mengukuhkan dakwaan beliau mempunyai sokongan kukuh dan meyakinkan untuk membentuk kerajaan baharu.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, dalam pertemuan selama 25 minit pagi tadi, Anwar hanya mengemukan jumlah Ahli-ahli Parlimen yang didakwa menyokong beliau.

“Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Datuk Seri Anwar bin Ibrahim untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Seri Paduka berkenan menerima menghadap Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Istana Negara pada jam 11 pagi tadi.

Sesi menghadap ini sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 22 September lalu tetapi ditangguhkan ekoran daripada kegeringan Al-Sultan Abdullah di mana Seri Paduka telah menjalani rawatan di Institut Jantung Negara bermula pada 21 September hingga 3 Oktober lalu.

Dalam sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur sebentar tadi, Anwar mendakwa telah menerima sokongan lebih 120 Ahli Parlimen dan telah menyerahkan dokumen sahih bagi menyokong dakwaan itu kepada Seri Paduka.

Menyentuh perkembangan semasa penularan wabak COVID-19 di negara ini, khususnya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berkuat kuasa esok, Seri Paduka menzahirkan kegusaran.

Al-Sultan Abdullah turut menasihatkan seluruh rakyat supaya bertenang serta berdisiplin menjaga kesihatan diri masing-masing dengan mematuhi ketetapan tatacara kebiasaan baharu dan
prosedur operasi standard (SOP).

“Walaupun perkembangan terkini agak membimbangkan berikutan kenaikan yang berterusan tiga digit kes positif harian COVID-19 serta kewujudan beberapa kluster baharu sejak 1 Oktober lalu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan dan mengajak seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik bersatu padu dan bersatu hati memerangi penularan COVID-19 demi keselamatan bersama serta kesejahteraan negara.

“Adalah dimaklumkan juga, lanjutan kepada pelaksanaan PKPB dan atas titah perkenan Al-Sultan Abdullah, Istana Negara telah melaksanakan sekatan pergerakan separa (semi-lockdown) yang telah berkuat kuasa sehingga tarikh yang akan diumumkan kelak,” jelas Ahmad Fadil.

Beliau menambah, Seri Paduka amat prihatin dan menitikberatkan penjagaan dan tahap kesihatan diri para pegawai serta kakitangan Istana Negara dan pelaksanaan itu adalah untuk menjaminkan keselamatan dan kesejahteraan warga Istana Negara.

“Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka berdoa semoga Malaysia terus dilindungi dan dirahmati dan ancaman penularan COVID-19 dapat dibendung dengan berkesan dan diakhiri dengan segera,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.