660 kes, 6 kluster dan 4 kematian hari ini

430

13 OKT: Sebanyak 660 kes baru COVID-19 dilaporkan hari ini yang merupakan angka harian kedua tertinggi setakat ini sejak wabak itu dilaporkan awal tahun ini.

Daripada jumlah itu, dua pertiga atau 443 kes dilaporkan di Sabah yang antaranya disebabkan oleh hasil saringan besar-besaran oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selangor pula yang bakal diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai tengah malam ini mencatatkan kes kedua tertinggi dengan 76 kes baru.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini diikuti Kedah dengan 60 kes melibatkan saringan di Penjara Pokok Sena.

Katanya, Pulau Pinang pula melaporkan 23 kes diikuti Labuan, (19) manakala Perak dengan 16 kes dari Kem Tahanan Taiping.

Ujar beliau, selain itu, enam kluster lagi dilaporkan hari ini dengan tiga daripadanya di Sabah.

“Jumlah individu disahkan positif COVID-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) kini meningkat kepada 101 orang manakala 32 lagi memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat empat kematian dilaporkan hari ini menjadikan kumulatif kematian akibat COVID-19 kini berjumlah 163 kes.

“Sebanyak 350 kes sembuh dilaporkan dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini berjumlah 5,345,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Kata Noor Hisham, terdapat dua kes import dilaporkan hari ini melibatkan penularan dari India dan Nepal.

Sementara itu, beliau memaklumkan yang sejak Ahad lalu, semua ketibaan dari Sabah di mana-mana pintu masuk diwajibkan untuk menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari di rumah

Katanya, ini berlaku kerana kementerian mendapati jumlah kes COVID-19 yang melibatkan individu yang baru-baru ini mengunjungi Sabah terus meningkat.

“Ketika ini terdapat 23 kluster di seluruh negara dikaitkan dengan kes indeks yang mempunyai sejarah kepulangan dari Sabah.

“Mereka akan dikenakan kuarantin kendiri selama 14 hari, masing-masing diberi gelang (dipakai sepanjang tempoh) dan mereka perlu memantau status kesihatan mereka sendiri menggunakan alat penilaian rumah MySejahtera,” kata Noor Hisham. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.