STAR teguh sokong PN, Muhyiddin

84

12 SEPT: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) tetap dengan pendiriannya kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, beliau secara peribadi turut menyokong penuh Muhyiddin untuk terus menjadi Perdana Menteri.

“Tidak timbul sama sekali persoalan untuk mengalihkan sokongan kepada calon lain yang berangan-angan mahu menjadi Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendirian STAR mengenai spekulasi peralihan kerajaan Pusat berikutan dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan dan mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri II Sabah memberitahu, tindakan Anwar cuba menarik Ahli Parlimen daripada kerajaan dalam usahanya untuk menjadi Perdana Menteri hanya menjejaskan kredibilitinya di mata rakyat.

“Berdasarkan senario semasa, rakyat melihat tindakan Anwar yang menunjukkan beliau gila kuasa ingin menjadi Perdana Menteri tanpa mengambil kira kesannya kepada rakyat hanya menjejaskan kredibiliti dirinya sendiri.

“Beliau dilihat sebagai seorang yang gila kuasa ingin merebut jawatan Perdana Menteri tanpa mempedulikan akibatnya terhadap rakyat jelata.

“Lebih baik beliau (Anwar) menjaga kawasannya sebagai Ahli Parlimen Port Dickson dan menyumbang usaha serta tenaga membantu kerajaan dan rakyat dalam memerangi musuh tidak kelihatan iaitu COVID-19 selain membantu memulihkan ekonomi yang terjejas akibat pandemik itu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Keningau itu juga menekankan peningkatan jangkitan COVID-19 khususnya di Sabah dan penularan disebabkan pengunjung dari negeri ini menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan masyarakat.

Tambahnya, langkah itu bagi memastikan negara kembali ke landasan yang sepatutnya bagi memulihkan ekonomi negara.

“Rakyat tidak seharusnya diganggu dengan langkah terdesak Anwar.

“Kita perlu berwaspada dan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) supaya lengkungan kes dapat diratakan secepat mungkin,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.