Semua sekutu PN sokong Muhyiddin kekal PM

3,174

12 OKT: Perikatan Nasional (PN) menyatakan penghargaan kepada semua pimpinan tertinggi dan Ahli Parlimen dari parti komponen dan rakan kongsi politiknya seperti Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang menzahirkan sokongan padu terhadap pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sokongan itu melambangkan bahawa semua parti politik yang menyokong kerajaan PN bersama dalam menghadapi situasi pandemik COVID-19 dan cabaran ekonomi ketika ini sekali gus menolak sebarang cubaan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

“Tatkala penularan wabak COVID-19 ini masih berleluasa di seluruh dunia, kerajaan PN memberikan tumpuan penuh untuk menguruskan ekonomi negara dengan baik dan menawarkan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada seluruh rakyat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

hamzah zainudin
HAMZAH ZAINUDIN

Beliau menambah, PN menyeru kepada semua rakyat untuk terus bersatu hati dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjagaan kesihatan yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan bagi bersama-sama mengulangi kejayaan untuk memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.

Hamzah memberitahu, kerajaan PN akan terus memberikan tumpuan penuh untuk menguruskan ekonomi negara dengan baik dan menawarkan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada seluruh rakyat di saat negara sekarang sedang dilanda wabak COVID-19.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 Oktober lalu mengumumkan bahawa beliau sudah mendapat perkenan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, esok.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, pada majlis mengadap tersebut, beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang diumumkan sebelum ini.

Walau bagaimanapun, dakwaan Anwar itu sukar dipercayai kerana sebahagian besar Ahli Parlimen yang dikatakan menyokongnya telah membuat penafian secara terbuka. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.