Polis siasat senarai 121 MP didakwa sokong Anwar

1,047

12 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan berhubung penyebaran senarai 121 Ahli Parlimen yang dikatakan menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM, Datuk Huzir Mohamed berkata, Anwar telah diminta hadir ke Bukit Aman pada jam 11 pagi hari ini untuk memberi keterangan berhubung kes tersebut.

Walau bagaimanapun, menurut beliau, Setiausaha Sulit Ahli Parlimen Port Dickson itu memaklumkan bahawa Anwar hanya dapat berbuat demikian pada jam 9 pagi esok.

Huzir Mohamed
HUZIR MOHAMED

“Justeru, PDRM menangguhkan janji temu berkenaan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Senarai nama-nama Ahli Parlimen terbabit yang disiarkan oleh sebuah portal mula tular dalam media sosial setelah Anwar diperkenankan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah esok.

Ramai Ahli Parlimen dalam senarai berkenaan menafikan mereka menyokong komplot Presiden PKR itu untuk menjatuhkan kerajaan PN.

Antara Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian), Datuk Seri Idris Jusoh (Besut), Datuk Seri Mahdzir Khalid (Padang Terap), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Putrajaya), Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong), Datuk Seri Bung Moktar Radin (Kinabatangan), Datuk Mohamad Alamin (Kimanis), Datuk Hasbullah Osman (Gerik), Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands), Datuk Ahmad Nazlan (Jerantut), Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar) dan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (Ayer Hitam).

Huzir menambah, siasatan dimulakan selepas polis menerima laporan daripada Ahli Parlimen Jerantut, Pahang, pada 8 Oktober lalu.

Beliau memberitahu, kes akan disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Sehingga kini, sebanyak enam laporan polis diterima dan PDRM masih menjalankan siasatan lanjut berkenaan dakwaan yang tersebar luas di media massa, sejak kebelakangan ini,” jelasnya.

Huzir berkata, PDRM menegaskan kepada orang ramai supaya tidak gusar dengan penyebaran berita berkenaan dan menasihatkan semua pihak berkepentingan supaya tidak menyebarkan berita yang belum pasti kesahihannya.

“PDRM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas pihak yang menyebarkan berita palsu, tidak sahih dan mengelirukan orang ramai,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.