Polis siasat kelab golf langgar arahan PKP

154

12 OKT: Polis kini menjalan siasatan terhadap sebuah kelab golf di Petaling Jaya yang disyaki mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana masih menjalankan aktiviti harian seperti biasa walaupun sudah diarahkan tutup mulai semalam berikutan beberapa pekerjanya disahkan positif Covid-19.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata polis berbuat demikian selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat laporan di Balai Polis Damansara, selepas gagal mematuhi arahan penutupan berkuat kuasa mulai Ahad lalu.

“Kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana ingkar PKP,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di hadapan asrama pekerja kelab golf berkenaan.

Terdahulu, Nik Ezanee membuat pemantauan di asrama pekerja kelab golf itu yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula hari ini sehingga 25 Oktober susulan kes positif Covid-19 membabitkan pekerja yang tinggal di asrama itu.

Malah difahamkan, sehingga kini, 23 pekerja warga tempatan dan warga asing di asrama pekerja kelab berkenaan dilaporkan positif Covid-19.

Mengulas lanjut, Nik Ezanee berkata seramai 11 individu yang positif dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan manakala 12 lagi masih berada di asrama berkenaan dan akan dibawa ke hospital hari ini, manakala 597 pekerja lagi dijangka menjalani saringan Covid-19 pada Rabu ini.

Dalam pada itu, Nik Ezanee berkata seramai, 20 anggota polis ditempatkan untuk memantau kawasan kelab itu.

“Saya berharap orang ramai tidak mengambil mudah dengan penularan wabak ini yang semakin meruncing di kawasan Petaling Jaya dengan menjaga keselamatan dan kebersihan diri,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.