PKPB: WP bersedia, Selangor mahu beri cadangan balas

140

12 OKT: Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa akan kembali mengetuai Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan (JKKWP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut Annuar, beliau sendiri akan memantau pelaksanaan perintah itu kerana ia sudah pasti menjejaskan kehidupan warga kota sekali lagi.

Menurutnya, ia meningkatkan lagi keyakinannya bahawa pakej Wilayah Cakna 3.0 amat diperlukan untuk membantu golongan berpendapatan rendah.

“Dengan terlaksananya PKPB sekali lagi, saya akan kembali pengerusikan JKKWP setiap hari di Pusat Pengurusan Krisis (CMC WP) bersama ketua jabatan dan memantau sendiri pelaksanaan PKPB Wilayah Persekutuan. Insya-Allah,” ciapnya di Twitter.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, apa yang penting ialah tumpuan kepada usaha memutuskan rantaian Covid-19 dan berharap warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dapat menempuhi fasa mencabar itu.

“PKPB sekali lagi bagi WPKL dan Putrajaya. Saya berdoa ke hadrat Allah SWT agar warga Wilayah Persekutuan melalui cabaran ini secara bersama penuh tabah serta kesabaran.

“Kita akan tumpukan usaha memutuskan rantaian Covid-19 sekali lg. Duduk rumah, kekal selamat,” jelasnya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 12.01 tengah malam, Rabu.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengumuman PKPB di seluruh Selangor agak mengejutkan kerana hanya Klang, Gombak, Hulu Langat dan sebahagian Petaling yang mempunyai bilangan kes yang membimbangkan.

Jelas beliau, kerajaan negeri berpandangan bahawa beberapa kawasan yang masih dikategorikan zon hijau dan kuning seperti Sabak Bernam dan Kuala Selangor adalah masih terkawal dan oleh itu cadangan balas akan dikemukakan kepada pihak MKN dengan segera agar dapat diberi pertimbangan semula.

“Kerajaan Negeri berharap semua pihak bersedia dengan perubahan ini agar sama -sama kita berjaya mengawal penularan wabak Covid-19.

“Kerajaan Negeri juga sangat menghargai komunikasi krisis yang lebih efektif dan konklusif melibatkan semua pihak agar sebarang ketetapan yang diambil tidak menghasilkan sebarang bentuk ketidaktentuan pelaksanaan yang akan memberi impak kepada petugas barisan hadapan, rakyat lebih-lebih lagi pengusaha industri kecil dan sederhana.

“Semoga Allah S.W.T terus merahmati Selangor dan warganya,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.