PKPB: Semua perkhidmatan kerajaan tetap beroperasi

99

12 OKT: Semua perkhidmatan kerajaan tetap beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berkuat kuasa selama dua minggu bermula 14 Oktober ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, penjawat awam akan mengadaptasi sistem penggiliran dan bekerja dari rumah mengikut keperluan dengan mengambil kira kebajikan mereka.

Beliau berkata, ketua jabatan dikehendaki mematuhi Surat Edaran Jabatan Perkhidmatan Awam Rujukan JPA.SARAAN(S)256/6/31JLD.6(6) bertarikh 2 Mei 2020.

Katanya, ketua jabatan hendaklah menggunakan kebijaksanaan dan pertimbangan sewajarnya di samping memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kesihatan dipatuhi sepenuhnya..

“Ini seperti melaksanakan saringan suhu badan, mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan menyediakan cecair pembasmi kuman.

“Pelaksanaan ini turut diguna pakai bagi mana-mana kawasan yang diisytiharkan PKPB,” katanya.

Mohd Zuki berkata penggunaan aplikasi online juga perlu diberi keutamaan bagi meminimumkan perkhidmatan secara bersemuka seperti perkhidmatan kaunter dan mesyuarat, selari dengan amalan penjarakan fizikal.

Katanya Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengeluarkan SOP secara terperinci dalam masa terdekat.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata, Sidang Khas MKN bersetuju melaksanakan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes dan penularan COVID-19 seperti di Klang, Daerah Petaling serta Gombak.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.