PKPB seluruh Sabah, Selangor, KL, Putrajaya

382

12 OKT: Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah mulai jam 12.01 tengah malam ini sehingga 26 Oktober.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan penguatkuasaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai jam 12.01 tengah malam, 14 Oktober sehinggga 27 Oktober ini.

Menurut beliau, langkah itu diambil setelah menerima nasihat Kementerian Kesihatan dan mengambil kira kadar penularan yang semakin meningkat.

Ismail Sabri memberitahu, antara prosedur operasi standard (SOP) yang mesti dipatuhi adalah larangan pergerakan keluar masuk atau merentas daerah.

“Walau bagaimanapun bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan.

“Hanya dua orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung dalam Facebook, hari ini.

Antara SOP lain yang dikuatkuasakan di Sabah adalah seperti berikut:

• Semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz, taman-taman awam dan pusat rekreasi adalah DITUTUP.
• Masjid dan surau serta rumah ibadat bukan Islam lain adalah DITUTUP.
• Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya termasuk majlis perkahwinan adalah TIDAK DIBENARKAN.
• Pusat-pusat hiburan dan kelab malam juga TIDAK DIBENARKAN.
• Kegiatan sektor ekonomi, industri dan perniagaan dibenarkan beroperasi seperti biasa namun perlu mematuhui SOP ketat yang telah dan akan dikeluarkan oleh MKN.
• Pasar Borang, Pasar harian (6.00 pagi – 2.00 petang).
• Kedai barang keperluan dan kedai runcit (6.00 pagi – 6.00 petang)
• Restoran, kedai-kedai makan, warung-warung, kedai runcit dan serbaneka dibenarkan (6.00 pagi – 6.00 petang). Bagaimanapun terhad untuk pembelian secara pandu lalu, penghantaran serta take away.
• Operasi stesen minyak dibenarkan beroperasi (6.00 pagi – 6.00 petang)
• Perkhidmatan teksi/ e-hailing dan penghantaran makanan juga dibenarkan (6.00 pagi – 8.00 malam).
• Bas ekspres dan bas henti-henti tidak dibenarkan beroperasi.
• Farmasi dan kedai ubat-ubatan dibenarkan beroperasi seperti biasa (6.00 pagi hingga 6.00 petang).
• Operasi klinik dan hospital kerajaan dibenarkan beroperasi 24 jam.
• Sektor perikanan, perladangan, pertanian adalah dibenarkan.
• Bagi sektor perniagaan dan perkilangan termasuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang ingin beroperasi boleh memohon daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah.

SOP lain bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah seperti berikut:

• Semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz, taman-taman awam dan pusat rekreasi adalah ditutup.
• Masjid dan rumah ibadat bukan Islam lain adalah ditutup.
• Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya termasuk majlis perkahwinan adalah tidak dibenarkan.
• Pusat-pusat hiburan dan kelab malam juga tidak dibenarkan.

Walau bagaimanapun, Ismail Sabri menjelaskan, semua kegiatan ekonomi di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya masih dibenarkan beroperasi seperti biasa.

Beliau berkata, sidang khas MKN hari ini juga bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Umas, Sabah yang akan berkuat kuasa mulai jam 12.01 tengah malam ini hingga 26 Oktober.

“PKPD ini akan melibatkan 800 buah rumah dengan seramai 17,549 penduduk di kawasan tersebut,” katanya.

Ismail Sabri memberitahu, dengan pelaksanaan perintah ini semua penduduk dikehendaki mematuhi SOP yang ditetapkan antaranya:

• Semua penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar daripada rumah masing-masing.
• Semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.
• Bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka dibenarkan untuk keluar zon tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada PDRM.

Selain itu, Kementerian Kesihatan akan melakukan saringan secara bersasar kepada semua penduduk yang terlibat.

Bekalan keperluan makanan akan diagihkan oleh Kerajaan negeri yang akan dikoordinasi Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri.

Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pegawai yang diberi kuasa, akan mengawal seluruh kawasan terlibat. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.