Hampir 2,000 petugas kesihatan kontrak dilantik

36

12 OKT: Kementerian Kesihatan akan melantik 1,899 lagi petugas kesihatan secara kontrak bagi menyokong perkhidmatan kesihatan sepanjang tempoh penularan COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, antara petugas kesihatan sokongan tambahan adalah Pegawai Penyelidik, Jururawat, Penolong Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Juruteknologi Makmal Perubatan dan Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi dan Kewangan).

Menurut beliau, pelantikan berkenaan selaras persetujuan pertimbangan untuk menambah petugas kesihatan kepada sejumlah 2,000 lantikan secara kontrak seperti diluluskan kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin, sebelum ini.

adham baba
DR ADHAM BABA

Dr Adham berkata, Kementerian Kesihatan sudah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan pada Jumaat lalu.

“Petugas kesihatan ini juga akan ditempatkan di stesen kuarantin seluruh negara dan ditugaskan di pintu masuk antarabangsa seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur agar urusan keluar dan masuk di situ dapat diuruskan dengan lebih lancar dan berkesan.

“Mereka juga akan ditempatkan di fasiliti kesihatan seperti hospital, klinik kesihatan, makmal, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai perkembangan semasa penularan gelombang ketiga COVID-19, Dr Adham berkata, antara langkah awal diambil kementerian adalah mobilisasi petugas kesihatan sedia ada dari negeri dan fasiliti kesihatan tertentu.

Ia bagi membantu negeri atau fasiliti kesihatan yang memerlukan tambahan sumber manusia kerana kes penularan COVID-19 menunjukkan trend peningkatan semula berikutan wujudnya kluster baharu terutama di Kedah, Sabah dan Selangor.

“Berikutan itu, sebilangan kawasan sebelum ini yang diisytiharkan sebagai zon hijau, berubah menjadi zon kuning dan merah.

“Kerajaan sudah mengambil langkah segera bagi mengawal penularan wabak ini, antaranya mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri dan lokaliti berkenaan,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.