Fasa kritikal perang COVID-19 di Sabah

169

12 OKT: Perjuangan petugas barisan hadapan di Sabah dalam memerangi penularan COVID-19 sedang mencapai tempoh kritikal.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, strategi Kementerian Kesihatan ketika ini adalah berdasarkan pengawasan komuniti, pengesanan kontak bagi mengesan, menguji, mengasingkan dan merawat individu yang dijangkiti.

Menerusi status dalam laman sosial rasminya awal pagi tadi, pendekatan memperketatkan kawalan di sempadan negeri dan daerah di Sabah bertujuan untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 daripada terus merebak.

Sementara itu pengguna media sosial termasuk di Twitter dan Facebook menyatakan sokongan kepada usaha barisan hadapan negara dalam memerangi penularan COVID-19.

Ada antara pengguna media sosial menyatakan keprihatinan terhadap kesihatan Dr Noor Hisham dengan memintanya berehat berikutan status di Facebook dan ciapan di Twitter rasminya dimuat naik kira-kira jam 2 pagi tadi.

“Dr, what time you get your rest? (Dr, bila anda berehat?),” dan “u need to rest sir. Many thing need to sort out today morning (Anda perlu berehat. Banyak perkara yang perlu diselesaikan pagi ini)” antara komen yang ditinggalkan di akaun Twitter Noor Hisham Abdullah.

Semalam, jumlah kes baharu COVID-19 kembali meningkat, dengan 561 jangkitan dilapor membabitkan 553 penularan tempatan dan lapan kes import.

Pertambahan jangkitan baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini mencecah 15,657 dengan 4,587 kes aktif.

Sementara itu, dua lagi kematian turut dilaporkan semalam menjadikan kumulatif kes kematian akibat pandemik COVID-19 di negara ini adalah 157 kes.

Kementerian Kesihatan turut mengesan lima lagi kluster baharu iaitu tiga di Sabah dan masing-masing satu di Selangor dan Labuan. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.