Apakah tiada keinsafan dalam diri Anwar?

247

12 OKT: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) mengecam tindakan pihak yang mengutamakan kepentingan politik peribadi dan mengheret intitusi diraja dalam kancah perebutan kuasa.

Ketua Penerangannya, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, situasi itu berlaku ekoran pengumuman Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan bahawa beliau mempunyai bilangan sokongan yang cukup dalam kalangan ahli Parlimen bagi menggantikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Armada hairan, adakah tiada keinsafan dalam diri pemimpin nombor satu PKR ini selaku punca atau penyebab kejatuhan kerajaan terdahulu dek kerana keghairahan politik untuk berada pada tampuk pemerintahan kuasa sehingga tindakan drastik diambil demi menjaga kemaslahatan rakyat dari sibuk berpolitik dan menggugat pentadbiran selama 22 bulan, sedang apa yang rakyat mahukan adalah kestabilan.

“Juga adakah dirinya tidak menilai kesan yang telah menghimpit rakyat atas apa yang berlaku di Sabah setelah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga menyaksikan jumlah COVID-19 naik mendadak,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

ashraf
MOHD ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR

Beliau menambah, ketika ini bukan masa yang sesuai untuk Anwar meneruskan komplotnya melainkan beliau begitu mementingkan diri dengan mengambil kesempatan dalam kesempitan di samping sanggup mempergunakan serta mengheret Istana Negara untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang jelas diiktiraf bernaung di bawah Yang Di Pertuan Agong (YDPA) dan Majlis Raja-Raja Melayu secara perlembagaan melalui Perkara 40(2), Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Mohd Ashraf, tindakan Anwar ini jelas mendesak istana meskipun atas kuasa Yang di-Pertuan Agong secara Perlembagaan dan seakan mahu ‘tunjuk ajar’ hanya demi kepentingan peribadi.

“Perlu diingatkan, lahirnya Perikatan Nasional (PN) adalah setelah jatuhnya kerajaan sebelum ini, bukannya ‘plot’ menjatuhkan kerajaan sedia ada di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong yang sedang dalam pentadbiran sepertimana yang digerakkan Anwar Ibrahim!

“Ini adalah suatu hal yang keji dan wajar dikecam kerana ianya mampu mengheret kepada pembubaran parlimen dari sudut amalan demokrasi, sedang rakyat seluruh negara tidak bersedia dalam keadaan wabak yang merosakkan lagi perkembangan ekonomi sedang agenda pemulihan ekonomi dan sosial yang baik telahpun dirangka oleh Perdana Menteri,” katanya.

Sementara itu, Mohd Ashraf berkata pihaknya akan sentiasa meneliti perkembangan isu Anwar dan menyokong penuh Ahli Parlimen yang telah membuat laporan polis bagi menafikan sokongan beliau terhadap Ahli Parlimen Port Dickson itu.

“Saya berharap satu tindakan tegas diambil terhadap beliau sekiranya gagal membuktikan dakwaan pada kali ini memandangkan ini bukanlah kali pertama beliau mengada-adakan dakwaan sokongan majoriti seperti yang diperkatakan.

“Sekiranya tiada tindakan tegas diambil, mana-mana pihak boleh mengulangi persembahan ini di masa hadapan dan ini boleh mencemar kemuliaan institusi Yang Dipertuan Agong dan mendedahkan negara kepada kritikan dan sindiran oleh komuniti antarabangsa.

“Armada turut ingin mengambil kesempatan mengecam pimpinan politik yang tidak menghormati kedaulatan undang-undang dan sanggup untuk melakukan apa sahaja demi menyelamatkan diri mereka. Ini bukan soal kepentingan peribadi mahupun parti, namun demi membawa Malaysia kearah yang lebih baik dalam mencapai tekad urus tadbir baik,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.