1.2 juta pelajar terlibat penutupan sekolah

72

12 OKT: Kira-kira 1.2 juta murid dan pelajar di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terlibat dengan penutupan sekolah, kolej matrikulasi dan institusi pendidikan guru mulai Rabu ini hingga 27 Oktober.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan, penutupan itu membabitkan 1,088 institusi dan lebih 935,000 pelajar di Selangor; 344 institusi dan lebih 250,000 pelajar di Kuala Lumpur serta 29 institusi dan kira-kira 31,000 pelajar di Putrajaya.

Penutupan itu selari dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan kerajaan hari ini.

Menurut kenyataan itu, bagi mereka yang tinggal di asrama, ibu bapa boleh mengambil pelajar berkenaan untuk pulang.

Namun kata KPM, sepanjang menunggu untuk dibawa pulang oleh ibu bapa atau memilih terus kekal di asrama sepanjang PKPB, pelajar terlibat boleh terus tinggal di asrama di bawah seliaan warden dengan makan dan minum disediakan.

Tambah kenyataan itu, ibu bapa atau penjaga yang hanya boleh mengambil pelajar selepas PKPB dikuatkuasakan, mereka perlu memaklumkan kepada pentadbir institusi pendidikan bagi mendapatkan surat rujukan bagi memohon kebenaran rentas daerah.

“Bagi pelajar yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang telah dijadualkan sepanjang tempoh PKPB, mereka hendaklah mendapat kebanaran dari sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan,” ujar kenyataan itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.