UUM tutup sehingga 15 Okt

75

11 OKT: Penutupan kampus induk Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok sejak 5 Oktober lalu akan dilanjutkan sehingga Khamis depan.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, semua kakitangan UUM akan terus bekerja dari rumah kecuali mereka yang terbabit dalam perkhidmatan perlu dan mendapat kebenaran Pendaftar.

Menurut beliau, langkah berkenaan juga bertujuan mengekang penularan virus COVID-19 dan aktiviti disinfeksi secara menyeluruh dilaksanakan di seluruh kampus utama UUM.

“Sepanjang tempoh penutupan UUM, sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dilaksanakan secara dalam talian bermula esok dan segala aktiviti atau mesyuarat secara bersemuka perlu ditangguhkan serta dijalankan secara atas talian hingga keadaan kembali terkawal.

“Kita juga sudah menjalankan ujian saringan ke atas anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) yang tinggal di sebuah Inapan Siswa (INASIS) dan dipindahkan untuk dikuarantin di luar kampus utama.

“INASIS itu ditutup serta merta dan dikawal 24 jam apabila isu ini timbul dan semua penghuni kini terasing daripada orang ramai. Pelajar yang berada di dalam kampus tidak dibenarkan keluar melainkan dengan kebenaran Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Bashawir menambah, sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kesihatan semua kakitangan dan pelajar dipantau menerusi aplikasi COVID-19 Daily Self Assessment (CODSA). – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.