PPKB 2 lokasi di Lahad Datu

76

11 OKT: Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bersidang hari ini bagi membendung penularan COVID-19 memutuskan Taman Khazanah Indah dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Mutiara Kasih di Lahad Datu, Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula Selasa ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan turut melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kota Belud dalam tempoh sama, sehingga 26 Oktober.

Menurut beliau, langkah itu bagi membolehkan petugas kesihatan melaksana aktiviti saringan bersasar ke atas 5,452 penduduk Taman Khazanah Indah dan PPR Mutiara Kasih, selain penduduk di Kota Belud.

“Dengan pelaksanaan perintah PKPD, semua penduduk Taman Khazanah Indah dan PPR Mutiara Kasih tidak dibenarkan keluar daripada rumah masing-masing, sementara petugas kesihatan akan melakukan saringan bersasar sepanjang tempoh itu.

“Bekalan keperluan makanan pula akan diagihkan kerajaan Sabah yang dikoordinasi oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri. Semua laluan keluar masuk PKPD juga ditutup.

“Bagaimanapun, bagi kes kecemasan seperti kematian, sakit dan sebagainya, penduduk boleh mengemukakan permohonan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk keluar dari kawasan,” katanya pada sidang media secara virtual di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Rela, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan pihak lain diberi kuasa akan mengawal lokasi berkenaan bagi memastikan kepatuhan penduduk terhadap perintah itu.

Ismail Sabri berkata, MKN membenarkan dua orang dalam setiap isi rumah untuk keluar membeli barang keperluan di kedai runcit mahupun kedai makan dan farmasi bagi penduduk Kota Belud yang dikenakan PKPB.

“Sepanjang tempoh itu hanya perkhidmatan perlu termasuk kilang dan rantaian dalam sektor dibenarkan sahaja dibolehkan beroperasi dan penduduk dinasihat sentiasa merujuk MKN untuk maklumat lanjut berkenaan perintah terbabit,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.