Lelaki langgar kuarantin ditahan polis

192

10 OKT: Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, mengesahkan penahanan lelaki yang memakai gelang merah jambu di stesen minyak di Bukit Tinggi, Klang yang tular dalam media sosial sudah diberkas, malam tadi.

Beliau berkata, suspek ditangkap jam 8 malam tadi di kawasan Klang dan siasatan mendapati suspek bekerja sebagai jurutera di Sabah dan pulang ke Semenanjung pada 3 Oktober lalu.

“Siasatan masih diteruskan, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan polis sudah mengenal pasti suspek lelaki tempatan yang berumur 30 tahun itu.

Shamsul Amar dalam kenyataannya semalam berkata, pihaknya akan membuat tangkapan sebaik mendapat pengesahan status suspek bebas COVID-19 daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang.

Rakaman video berdurasi 1 minit 4 saat itu, menunjukkan insiden tegur menegur antara seorang petugas kesihatan wanita dengan lelaki terbabit.

Lelaki terbabit ditegur kerana keluar dari kuarantin malah menyebabkan orang ramai takut untuk menghampiri stesen minyak terbabit apabila melihat gelang merah jambu dipakainya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.