Hospital Marudu rawat pesakit COVID-19

110

13 OKT: Kementerian Kesihatan telah menambah sebuah lagi hospital bagi merawat pesakit COVID-19 di Sabah iaitu Hospital Marudu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kini terdapat tujuh hospital untuk merawat kes COVID-19 yang memerlukan penjagaan perubatan sekali gus menyediakan lebih kemudahan penjagaan rawatan rapi bagi pesakit COVID-19 kategori 3 – 5 di Sabah.

Selain itu, menurut beliau, Kementerian Kesihatan juga menambah jumlah katil bagi semua tujuh buah hospital itu kepada 946 katil.

adham baba
DR ADHAM BABA

“Bagi menyediakan rawatan menyeluruh, Kementerian Kesihatan juga telah menambah enam lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC).

“Oleh itu, Kementerian Kesihatan kini mempunyai 16 PKRC bagi merawat kes COVID-19 yang tidak mempunyai gejala atau gejala ringan (kategori 1 dan 2). Dengan itu, PKRC di Sabah kini mempunyai sejumlah 3,876 katil.

“Berikutan itu, kapasiti keseluruhan Kementerian Kesihatan di Sabah telah melonjak sebanyak 2,596 katil, kepada 4,834 buah katil. kadar penggunaan katil buat masa ini ialah 30 peratus, masih boleh menampung pertambahan kes,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Adham menambah, langkah kesiapsiagaan hospital di pantai timur Sabah turut disepadukan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menyediakan hospital medan di Tawau.

“Kemudahan itu membolehkan pesakit bukan COVID-19 dari Hospital Tawau terus mendapat rawatan.

“Hospital medan ini khususnya menyediakan perkhidmatan obstetrik dan ginekologi, pediatrik dan pembedahan am,” jelasnya.

Beliau memberitahu, langkah itu akan memberi lebih banyak ruang kepada Hospital Tawau untuk merawat kes-kes COVID-19 kategori 3 – 5, manakala kes-kes kategori 1 dan 2 akan terus ditempatkan PKRC.

“Perancangan awal adalah bagi menempatkan 100 katil di hospital medan ini,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.