Gadis remaja jadi ‘PM Finland’

305

11 OKT: Perdana Menteri Finland, Sanna Marin menjalani rutin seharian yang kurang sibuk apabila beliau ‘menyerahkan jawatan’ kepada seorang remaja perempuan tempatan berusia 16 tahun, baru-baru ini.

Namun, ini bukanlah ‘drama’ rampasan kuasa, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada usaha unik oleh pemimpin negara rantau Skandinavia itu untuk gimik promosi kempen hak wanita antarabangsa.

Justeru, beliau memilih pelajar dari Vaasky di selatan Finland, Aava Murto bagi bertukar peranan dan menjayakan kempen Girls Takeover anjuran badan kebajikan kanak-kanak global, Plan International.

Program yang memasuki tahun keempat itu bertujuan menambah kesedaran perihal kemahiran dan peluang remaja perempuan dalam industri teknologi digital selain mengatasi isu gangguan internet ke atas wanita.

Marin pernah menjadi tumpuan apabila mencatatkan sejarah sebagai perdana menteri paling muda di dunia pada usia 34 tahun setelah dilantik akhir 2019 lalu dan wanita ketiga yang memegang jawatan itu di Finland.

Dalam pada itu, Murto ketika ditemui wartawan berkata, dia dipenuhi ‘hari yang agak menyeronokkan’ ketika perlu berdepan dengan petugas media di tangga Parlimen selepas bertemu menteri keadilan.

Meskipun kelihatan cukup sibuk, dia bagaimanapun menambah, masih berasa gembira apabila dapat ‘mempelajari’ banyak perkara baharu berhubung selok belok polisi perundangan di negara berkenaan.

Pada sebelah tengah hari, pelajar yang aktif berkempen mengenai isu iklim dan hak asasi manusia itu dijangka bertemu dengan beberapa ahli Parlimen serta menteri pembangunan dan perdagangan.

Mesej Murto kepada penggubal dasar, adalah belia perempuan perlu sedar betapa pentingnya mereka dan kelompok tersebut juga boleh sama berkongsi kemahiran dalam bidang teknologi setanding remaja lelaki.

“Saya fikir orang muda boleh mengajar orang dewasa supaya dapat jadi lebih inovatif dalam membela nasib kami dan pada masa sama, memikirkan lebih mengenai masa depan generasi akan datang,” tambahnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.