674 individu ingkar arahan PKPP

56

11 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 674 individu kerana kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), termasuk 583 daripadanya dikompaun manakala 91 lagi direman.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kesalahan yang paling banyak dilakukan adalah aktiviti di pusat hiburan (325) sedangkan pusat-pusat hiburan masih tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKPP.

Beliau berkata, kesalahan termasuk gagal menyediakan peralatan merekod diri (80), penjarakan fizikal (53), tangkapan pendatang asing tanpa izin (22), langgar syarat PKPP (bawa penumpang lebih 2 orang) (7), menyalahguna pas sosial (7), premis beroperasi lebih masa (4), keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan PKPDB (4) dan premis beroperasi tanpa lesen sah (2).

“Berikutan itu, saya berharap PDRM akan mengambil tindakan lebih tegas daripada biasa bagi terus membendung penularan wabak COVID-19.

“Saya ingin mengingatkan bahawa PKPP masih dilaksanakan dan dikuatkuasakan. Tindakan polis juga lebih tegas daripada biasa, sebab itulah kita lihat 674 individu ditahan dan 583 dikompaun semalam,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung melalui Facebook hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, seramai 80 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan pihak berkuasa menerusi Operasi Benteng, selain menyita sebuah bot dan sebuah kenderaan darat.

Katanya, daripada jumlah itu, Rejimen Pertama Kor Armor Diraja telah berjaya menangkap 23 PATI sekitar kawasan hutan Pantai Pasir Logok, Felda Tenggaroh 12, Ladang Pasir Logok, Kota Tinggi, Johor kerana masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata sehingga hari ini, sebanyak 270 kertas siatan telah dibuka oleh PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung berita palsu berkaitan COVID-19.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 133 masih dalam siasatan manakala 35 kes telah didakwa di mahkamah manakala 19 pesalah telah mengaku bersalah dan 12 telah diberikan notis amaran.

“Dalam masa yang sama sebanyak 388 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu telah diperjelaskan kepada orang ramai oleh Pasukan Respon Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita palsu berkaitan COVID-19,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.