18 MP PAS teguh sokong Muhyiddin

748

10 OKT: Kesemua 18 Ahli Parlimen PAS kekal menyokong penuh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang memimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti itu tidak terkesan langsung dengan retorik yang dibawa Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

takiyuddin hassan
TAKIYUDDIN HASSAN

“PAS menganggap isu dibangkitkan oleh individu sama ini adalah tindakan terdesak yang mempunyai kepentingan dan cita-cita peribadi di samping menangguk air keruh ketika kerajaan PN sedang menguruskan masalah COVID-19 serta langkah pemulihan ekonomi negara.

“Dalam hal ini, PAS amat yakin Yang di-Pertuan Agong tidak akan melayan tindakan terdesak ini, sebaliknya Seri Paduka akan mengendalikannya berdasarkan peruntukan dan undang-undang berdasarkan Perlembagaan negara.

“PAS turut berharap kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap mana-mana pihak yang menimbulkan keresahan dan kekeliruan rakyat, di samping mengakibatkan terjejasnya sektor ekonomi negara akibat tindakan berkenaan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan beliau mendapat perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong Selasa ini.

Dalam satu kenyataan, Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya seperti dinyatakan ketika sidang medianya pada 23 September lalu. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.