Satu lagi lokasi di Selangor diletak di bawah PKPD

428

10 OKT: Satu lagi kawasan di Selangor diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan asrama pekerja Tropicana di Petaling Jaya selama 14 hari.

Ini seperti disyor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan terdapat kes positif COVID-19 dikesan dalam kalangan pekerja syarikat tersebut.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perintah tersebut berkuat kuasa dari jam 12.01 tengah malam 12 Oktober hingga 25 Oktober ini.

Ismail Sabri Yaakob

Katanya, jumlah penghuni terlibat melibatkan 500 orang dan langkah ini bagi membendung serta membolehkan aktiviti pengesanan COVID-19 dilakukan ke atas penghuni asrama pekerja.

“Walaupun PKPD ini di Tropicana, tapi hanya libatkan blok asrama dan tidak libatkan Kelab Golf Tropicana dan Country Resort yang mempunyai perumahan dan rumah kelab.

“Dalam tempoh pelaksanaan ini, SOP PKPD akan berkuat kuasa termasuk larangan keluar masuk,” katanya dalam sidang akhbar menerusi sidang video dari kediamannya hari ini.

Tengah hari tadi, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling, Johary Anuar memaklumkan terdapat lima kes positif COVID-19 dilaporkan melibatkan pekerja kelab golf Tropicana manakala empat lagi di Pusat Beli-belah One Utama.

Tambah Ismail Sabri, One Utama di Damansara pula diarah tutup selama tujuh hari bagi membolehkan saringan dilakukan ke atas pekerja dan pihak terlibat.

Katanya, ia akan melibatkan aktiviti pengesanan ke atas 800 orang dan proses sanitasi serta nyah kuman turut dilakukan di premis berkenaan yang terletak di Bandar Utama, Damansara itu.

Sementara itu, mengenai Ops Pematuhan, Ismail Sabri berkata, tidak memakai pelitup muka dan aktiviti di pusat hiburan antara kesalahan terbesar direkodkan melibatkan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Menurut beliau, keseluruhannya seramai 450 individu dikenakan tindakan oleh polis semalam dengan 66 daripadanya direman dan 378 dikompaun.

“Kesalahan tidak memakai pelitup muka melibatkan 150 kesalahan, aktiviti di pusat hiburan (91) dan tidak merekod pelanggan, 60 kes.

“Task Force Ops Pematuhan melibatkan pelbagai agensi akan terus meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi orang ramai,” katanya.

Tambah Ismail Sabri, Ops Benteng semalam pula berjaya menahan 49 pendatang asing tanpa izin (PATI) hasil sekatan jalan raya dan operasi di seluruh negara.

Katanya, beliau amat berharap rakyat Malaysia memberi kerjsama sepenuhnya dalam mengekang PATI dengan menyalurkan maklumat kepada agensi penguatkuasaan terlibat.

“Semalam, Ops Benteng juga berjaya merampas satu bot dan tiga kenderaan. Sebanyak 136 sekatan jalan raya dilakukan di seluruh negara,” tegasnya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersetuju mengaktifkan Hospital Medan ATM di Tawau, Sabah bagi melaksanakan bantuan sokongan merawat pesakit selain Covid-19.

Beliau berkata, hospital yang mempunyai kelengkapan 100 katil itu akan dijadikan wad pembedahan trauma, kecemasan, wad bersalin dan lain-lain.

“Lapan pegawai perubatan dan 54 anggota lain-lain pangkat terdiri daripada seorang komander, lima doktor pakar, tiga pegawai perubatan dan lain-lain kakitangan,” katanya.

Sementara itu, katanya, kerajaan akan mewujudkan Pusat Kuarantin Transit Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah bagi menempatkan warga asing berkaitan sebelum dimasukkan ke depot tahanan.

Ujar beliau, keperluan itu dibentangkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada sidang khas menteri hari ini, susulan peningkatan kes positif dalam kalangan warga asing yang ditahan di negeri itu.

Menurut Ismail, pusat kuarantin transit itu akan diwujudkan di Dewan Masyarakat Menggatal, Kota Kinabalu; Dewan Masyarakat Pekan Kinarut, Kota Kinabalu; Dewan Sibuga Batu 5, Sandakan dan Dewan Sri Gum-Gum Batu 16, Sandakan. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.