Empat dari tujuh PATI lolos di Tawau ditahan

73

10 OKT: Polis berjaya menahan semula empat daripada tujuh pendatang haram yang meloloskan diri dari Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, tiga daripada mereka ditahan semalam, manakala seorang lagi pada 8.15 pagi tadi.

“Kesemua suspek lelaki ini ditahan ketika bersembunyi di lokasi berasingan sekitar daerah ini, iaitu di rumah tidak bernombor di Jalan Bahagia, Taman King Fook dan Batu 5 Jalan Apas serta di ladang sawit di Gudang 4,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Peter berkata pihaknya sedang memburu baki tiga lagi tahanan berkenaan.

Dalam kejadian 2 pagi kelmarin, 14 tahanan bertindak memanjat pagar belakang PTS Tawau dan melarikan diri, namun tujuh berjaya ditahan semula pada hari sama.

Sementara itu, di Kota Kinabalu, polis sedang menjejaki seorang lelaki yang disahkan positif COVID-19 yang melarikan diri dari Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Kimisoner Habibi Majinji berkata, warga tempatan berusia 53 tahun, beralamat di Taman Petrajaya, Telipok itu melarikan diri selepas diminta menunggu di Unit Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) pusat kesihatan tersebut untuk dibawa ke hospital.

“Lelaki tersebut disahkan positif COVID-19 menerusi ujian saringan di Klinik Kesihatan Telipok yang dibuat sehari sebelum itu,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.