Bank masih terbuka bantu PKS terjejas

17

10 OKT: Bank-bank masih terbuka membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terbukti terus terjejas dan sukar membayar balik pinjaman walaupun tempoh moratorium berakhir pada 30 September lepas.

Sehubungan itu, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) menggesa PKS terbabit terus menghubungi bank masing-masing untuk membuat permohonan berkaitan selain dapat menjelaskan secara terperinci masalah mereka.

Wakil ABM, Mohd Zaini Aris berkata, ini juga dapat memudahkan bank menyalurkan bantuan yang tepat serta sesuai dengan keperluan PKS berkenaan.

“Kami (bank) terbuka walaupun tempoh itu tamat pada 30 September lalu. Apa yang berakhir adalah tempoh moratorium, namun bantuan bayaran balik pinjaman masih terbuka bagi PKS yang benar-benar memerlukannya.

“Sesetengah perniagaan masih boleh bertahan ketika fasa pertama pandemik Covid-19, namun mula terjejas selepas fasa kedua dan ketiga. Mereka (PKS) ini yang kami tiada data kerana mereka tidak menghubungi kami ketika fasa pertama dahulu,” katanya pada sesi webinar anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) semalam.

Mohd Zaini antara ahli panel pada sesi yang dihoskan Penolong Gabenor BNM Adnan Zaylani Mohamad Zahid bertajuk Bantuan Bayaran Balik Pinjaman untuk PKS: Masih Belum Terlambat.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.