SPRM terus buru penguat kuasa terlibat Macau Scam

171

9 OKT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini melancarkan gerakan besar-besaran bagi mengesan saki baki pegawai agensi penguatkuasaan yang terbabit dengan sindiket Macau Scam dan judi online yang dibongkar sebelum ini.

Menurut sumber, fasa seterusnya siasatan SPRM akan memberi fokus kepada individu atau syarikat yang telah dikenal pasti terlibat dalam penggubahan wang haram.

Sumber berkata, sehingga kini SPRM sudah memanggil sembilan pegawai kanan polis bagi membantu siasatan berhubung sindiket perjudian online dan scam.

“Semua pegawai kanan terbabit hanya dipanggil untuk diambil keterangan berhubung kes berkenaan dan setakat ini tiada tangkapan dibuat.

“Setakat hari ini, proses mengumpul keterangan sedang giat dijalankan. Sebanyak 736 akaun telah dibekukan dengan jumlah penyitaan sejumlah lebih kurang RM101 juta,” katanya kepada portal berita PN BBC sebentar tadi.

Dalam pada itu, sumber berkata SPRM juga akan membaw dua saspek utama kes akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi disambung reman esok.

“Setakat ini seramai 39 saksi telah dirakam percakapan dan 19 orang ditahan. Daripada jumlah 19 yang ditahan, 9 orang masih dalam tahanan reman.

“Sebagaimana yang ditegaskan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, pihak-pihak yang terlibat diminta segera tampil ke SPRM bagi membantu siasatan sebelum tindakan tegas diambil terhadap mereka.

“Kita akan memberi masa selewat-lewatnya sehingga hari isnin ini untuk mereka segera “menyerah diri”.

“Individu dan syarikat yang telah dibekukan akaun mereka juga wajar tampil ke SPRM untuk memberi keterangan mereka. Jangan tunggu sehingga tindakan tegas diambil terhadap mereka,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.