Shahidan tak sokong komplot Anwar

716

9 OKT: Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim membuat laporan polis semalam terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sebuah portal yang menyenarai nama beliau dalam barisan Ahli Parlimen yang akan menyokong Presiden PKR itu dalam komplot menjatuhkan kerajaan.

Shahidan berkata dakwaan itu satu perbuatan tidak bertanggungjawab dan tidak berasas sama sekali, kerana Anwar atau wakilnya tidak pernah berjumpa beliau membincangkan perkara itu.

“Saya tak pernah menghubungi Anwar Ibrahim dan Anwar atau orang-orang kuatnya tidak pernah menghubungi saya. Mengapa nama saya dikaitkan?

“Sudah tiga kali saya nafikan perkara ini sejak dari Sabah lagi tapi mereka ulang lagi. Jadi, saya ambil keputusan untuk buat laporan polis kerana ini adalah kebenaran,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.

Shahidan yang juga merupakan Ahli Parlimen Arau turut mempersoalkan tuduhan tersebut yang jika benar berlaku akan membuatkan DAP kembali berkuasa menjadi kerajaan.

“Kalau saya terlibat pun soalannya untuk apa? Untuk sokong DAP, untuk Anwar naik jadi Perdana Menteri dan membiarkan DAP berleluasa di negara ini.

“Kita sudah teruk dan serik selama 22 bulan apa yang telah DAP lakukan kepada penduduk negara ini ketika mereka menjadi kerajaan.

“Kalau ada yang lain nak sokong, sokonglah tapi saya nak beritahu saya dan kawan-kawan tidak menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri dan tidak menyokong DAP dan Anwar,” katanya.

Sementara itu, Shahidan memaklumkan laporan polis itu dilakukan agar siasatan teliti daripada pihak polis dapat dilakukan terhadap Anwar dan portal tersebut.

Beliau mengharapkan agar pihak polis menjalankan siasatan dengan segera disebabkan tuduhan ini menyebabkan pasaran negara merudum sehingga ke hari ini.

“Perbuatan Anwar ini bukan sahaja merosakan negara malah menyebabkan ekonomi jatuh sehingga pelabur hilang kepercayaan kepada kerajaan.

“Adakah perbuataan Anwar ini sekadar hanya untuk menyorokkan dirinya atau dia lupa bahawa ramai rakyat di dalam negara ini sedang menderita?” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.