Sekolah ada kes positif terus tutup tujuh hari

116

9 OKT: Mana-mana sekolah di seluruh negara yang mempunyai kes positif COVID-19 perlu ditutup oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tempoh tujuh hari tanpa perlu lagi menunggu analisa risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti sebelum ini.

KPM dalam satu kenyataan media malam ini memaklumkan, ini bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan, disinfeksi dan pengesanan kontak rapat dijalankan oleh KKM.

Kata kenyataan berkenaan, perkara itu seperti diputuskan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi ini.

“Dalam hal ini, sekolah-sekolah yang mempunyai kes positif COVID-19 perlulah mematuhi garis panduan penutupan sekolah yang akan dikeluarkan oleh KPM,” kata KPM.

Sementara itu, menurut kenyataan tersebut, murid-murid sekolah berasrama penuh yang berada di zon merah hendaklah kekal berada di asrama.

Tambah KPM, murid di asrama sekolah yang terletak di zon hijau tetapi rumah keluarga mereka di zon merah, juga perlu kekal tinggal di asrama.

Pihak sekolah akan menguruskan keselamatan dan kebajikan murid-murid berkenaan di asrama.

“Dalam tempoh penutupan sekolah ini, pentadbir sekolah diarah memastikan guru-guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.

“Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my,” ujar kementerian itu.

Sementara itu, jelas KPM, merujuk kepada kes positif COVID-19 di Sekolah Kebangsaan Presint 8 (1), Putrajaya dan Sekolah Kebangsaan Bangsar, Kuala Lumpur, arahan telah dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) supaya kedua-dua sekolah ini ditutup bermula hari ini sehingga 16 Oktober.

“Keputusan ini melibatkan sejumlah 2,978 murid sekolah rendah dan 211 guru dan kakitangan.

“Penutupan ini dibuat berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mengawal penularan wabak COVID-19 dan membolehkan kerja-kerja pembersihan, disinfeksi dan pengesanan kontak rapat dijalankan,” ujar kenyataan itu.

Dalam pada itu, jelas kenyataan itu, KPM sentiasa memantau situasi penularan wabak COVID-19 yang melibatkan institusi pendidikan di bawah KPM.

Namun sebelum arahan terbaru ini, sebarang keputusan yang dibuat oleh KPM adalah berdasarkan penelitian terhadap data yang ada serta perbincangan terperinci dengan KKM dan MKN.

“Sejak sekolah dibuka semula mulai 24 Jun 2020, sebarang keputusan untuk menutup kelas atau menutup sekolah adalah berdasarkan arahan daripada KKM.

“Di sepanjang tempoh ini, sekiranya PKD mengesan terdapat kes positif COVID-19 dalam kalangan murid, guru dan warga sekolah, PKD akan membuat analisa risiko secara menyeluruh ke atas jangkitan kes berkenaan.

“Berdasarkan analisa risiko ini, KKM melalui PKD akan mengeluarkan arahan sama ada, untuk kelas, tingkat dan bangunan ditutup ataupun keseluruhan sekolah perlu ditutup,” kata KPM dalam kenyataan itu.

Dalam pada itu, KPM memaklumkan, semua sekolah di Sabah ditutup mulai hari ini sehingga 25 Oktober ini.

Bagaimanapun, murid-murid sekolah berasrama penuh yang berada di zon merah serta mereka di asrama sekolah yang terletak di zon hijau tetapi rumah keluarga adalah di zon merah, perlu kekal tinggal di asrama masing-masing.  

Menurut KPM, pihak sekolah akan menguruskan keselamatan dan kebajikan murid-murid tersebut di asrama.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.