Nafi sokong Anwar, MP Jerantut lapor polis

195

9 OKT: Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris membuat laporan polis terhadap sebuah portal berita kerana didakwa menyenaraikan nama beliau dalam barisan Ahli Parlimen yang akan menyokong komplot Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjatuhkan kerajaan PN.

Ahmad Nazlan yang juga Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) membuat laporan itu di Balai Polis Jerantut pada jam 5 petang, semalam.

Menurut beliau, dakwaan tersebut adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab dan tidak berasas sama sekali, kerana Anwar atau wakilnya tidak pernah berjumpa dengannya untuk membincangkan perkara itu.

“Nama saya disenaraikan sedangkan saya tidak pernah dihubungi oleh sesiapa pun, tiba-tiba dah ada nama. Ini suatu pembohongan yang ternyata.

“Bagaimana seorang nak Perdana Menteri boleh bohong tentang senarai ini? Saya berdiri teguh dan menyokong penuh kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tidak akan berpaling tadah,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik dalam Facebook miliknya, hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Sharif menyangkal dakwaan yang mengaitkan dirinya kononnya berpihak kepada Anwar.

Beliau menyifatkan tuduhan menuduh dirinya menyokong komplot tersebut hanyalah sandiwara politik yang diwujudkan oleh Ahli Parlimen Port Dickson itu.

SALIM SHARIF

“Saya tidak pernah menyokong atau menandatangani mana-mana SD serta menafikan tuduhan yang dilemparkan dan dikeluarkan di media sosial.

“Dalam keadaan kita tahu negara dilanda COVID-19, lebih baik kita bersama-sama kita jaga kita.

“Kita masih belum menang dan berdoa yang membuat kenyataan ini kembali ke pangkal jalan yang penting bukan bersifat peribadi,” katanya.

mahdzir khalid
MAHDZIR KHALID

Selain itu, Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut mengulangi penafiannya berhubung sokongan terhadap Anwar.

Beliau sekali lagi menafikan terlibat menyokong gerakan yang didalangi oleh Anwar itu.

Semalam, Anwar mengesahkan telah menerima perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada 13 Oktober ini.

Ketua Pembangkang itu menyatakan, pada majlis mengadap tersebut beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang diumumkan pada 23 September lalu.

Kenyataan Anwar itu mencetuskan spekulasi sama ada beliau akan meneruskan komplotnya walaupun dakwaan kononnya sudah mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen masih dipersoalkan pelbagai pihak. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.