Malaysia diancam gelombang ketiga COVID-19

345

9 OKT: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, mengesahkan bahawa Malaysia kini memasuki gelombang ketiga pandemik COVID-19.

Berikutan itu, beliau mengingatkan rakyat supaya bersama berpadu tenaga untuk memutuskan rantaian penularan jangkitan seperti sebelum ini.

“Kita sekarang memasuki gelombang ketiga #COVID19. Sekali lagi kita mesti bersama berpadu tenaga memutuskan rantaian penularan jangkitan ini. #KitaJagaKita,” katanya dalam hantaran di Facebook di sini, malam tadi.

Biar pun masih tiga angka iaitu 371, namun jumlah penularan baru COVID-19 yang dilaporkan di seluruh negara semalam turun sedikit berbanding semalam dengan 375 kes, kelmarin.

Walau bagaimanapun, terdapat lima kematian dan lima kluster baru dilaporkan semalam manakala individu postif COVID-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) kini mencecah 60 kes dengan 20 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dr. Noor Hisham dalam sidang media hariannya semalam, berkata, 18 kes yang dilaporkan hari ini mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah manakala empat pula kes import meliputi dua jangkitan dari Belgium dan dua dari India.

Beliau berkata, negeri tertinggi yang mencatatkan kes baru adalah Sabah dengan 271 kes melibatkan pelbagai kluster dan juga saringan aktif dalam komuniti.

Selangor pula kedua tertinggi dengan mencatatkan 36 kes, diikuti Kedah (16), Kuala Lumpur (10), Labuan (lapan) manakala Terengganu, Johor dan Perak masing-masing lima kes.

Putrajaya dan Negeri Sembilan pula masing-masing dua kes manakala satu kes di Pulau Pinang, Melaka dan Pahang. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.