KPN tidak akan lindungi anggotanya yang ‘belot’

59

9 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawainya termasuk pimpinan tertingginya yang dikesan dan didapati melindungi sindiket bagi mendapatkan habuan tertentu.

Berikutan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memberi jaminan pihaknya tidak akan memberi ruang kepada mana-mana pegawai dan anggota PDRM yang bersekongkol melindungi kegiatan dilakukan oleh sindiket atau kartel jenayah.

“Tidak ada belas kasihan bagi mereka yang berani mencemarkan imej pasukan polis dan sebarang kesalahan yang dilakukan oleh mereka tidak akan ditoleransi.

“Seperti yang saya tegaskan sebelum ini kami mengalu-alukan siasatan sebegini termasuk yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kesalahan yang dilakukan orang-orang saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Hamid mengulas kes penahanan beberapa pegawai kanan dan anggota polis oleh SPRM yang didakwa terbabit dalam sindiket perjudian dalam talian dan Macau Scam.

Berikutan itu, Abdul Hamid berkata PDRM akan bekerjasama sepenuhnya dengan SPRM tanpa cuba melindungi mereka yang didapati terbabit kegiatan jenayah itu.

“Saya juga sudah mengarahkan Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) melipat gandakan usaha untuk membanteras semua bentuk jenayah yang dilakukan oleh pegawai dan anggota,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan penahanan 20 individu termasuk lapan pegawai polis dan seorang warga China selain akan membuat beberapa lagi siri tangkapan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Azam juga menyatakan pihaknya sudah menyita RM80 juga daripada 730 akaun bank dan wang tunai RM5 juta.

SPRM turut merampas 23 kenderaan mewah pelbagai jenama seperti Bantley, Rolls Royce, Lamborghini, Ferrari dan Porsche serta motosikal berkuasa tinggi yang dipercayai dibeli daripada hasil aktiviti judi dalam talian tempatan.

Difahamkan sindiket berkenaan dikatakan melaburkan wang daripada aktiviti kegiatan berkenaan ke dalam perniagaan yang dijalankan oleh selebriti dan personaliti terkenal tanah air serta usahawan kosmetik tempatan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.