KPM dibenar tutup sekolah jika ada kes positif – PM

102

9 OKT: Kementerian Pendidikan (KPM) kini dibenarkan mengeluarkan arahan menutup sekolah jika terdapat guru atau murid yang disahkan positif COVID-19 tanpa menunggu penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata perkara itu diputuskan oleh Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan COVID-19 yang pengerusikan secara sidang video di kediamannya hari ini.

Muhyiddin berkata, mesyuarat bersetuju supaya KPM meneliti keperluan untuk menutup sekolah di seluruh negeri Sabah berikutan peningkatan kes penularan COVID-19 di negeri berkenaan sekarang dan pengumuman rasmi akan dibuat menteri berkenaan tidak lama lagi.

“Memandangkan kes-kes di negeri ini masih menunjukkan peningkatan, mesyuarat bersetuju supaya KPM meneliti keperluan untuk menutup sekolah-sekolah di seluruh negeri Sabah. Menteri Kanan Pendidikan akan membuat pengumuman rasmi mengenai perkara ini.

“isu kapasiti hospital untuk merawat pesakit COVID-19 di negeri Sabah juga dibincangkan. Mesyuarat bersetuju supaya KKM berbincang dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mendapatkan bantuan dari segi kemudahan perubatan yang boleh ditawarkan oleh Kor Perubatan ATM.

“Saya juga telah mengarahkan Jabatan Imigresen Malaysia supaya memberi keutamaan kepada pengurusan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah yang menjadi antara punca merebaknya pandemik COVID-19 di negeri terbabit.

“Ini termasuk keperluan meningkatkan kapasiti depot tahanan Imigresen untuk menempatkan PATI yang ditahan dan memastikan semua tahanan tidak terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya sebentar tadi.

Terdahulu, Muhyiddin melahirkan rasa syukur kerana kebanyak kes penularan COVID-19 membabitkan beberapa kluster di Kedah kini mencatatkan sifar kes.

“Alhamdulillah, mesyuarat hari ini melaporkan kebanyakan kluster di Kedah termasuk Kluster Sivagangga, Kluster Muda dan Kluster Sanglang tidak lagi mencatatkan kes baharu. Hanya kluster Bah Sintok dan Tembok merekodkan kes baharu namun masih dapat dibendung.

“Ini menunjukkan langkah-langkah yang diambil oleh pelbagai agensi untuk membendung pandemik ini di negeri Kedah berkesan,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata mesyuarat berkenaan juga turut membincangkan penularan kes baharu COVID-19 di Selangor dan Wilayah Persekutuan termasuk kes yang membabitka murid di Sekolah Kebangsaan Bangsar.

“Justeru, mesyuarat bersetuju supaya Kementerian Pendidikan mengeluarkan arahan menutup sekolah jika terdapat guru atau murid yang disahkan positif COVID-19 tanpa menunggu penilaian risiko oleh KKM,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.