Kawalan ESSZONE lebih ketat kekang PATI

40

9 OKT: Kerajaan akan melaksanakan langkah-langkah baharu bagi memperketatkan kawalan keselamatan di kawasan pesisir pantai Zon Keselamatan Timur Sabah (ESSZONE) mulai 11 Oktober ini bagi mengekang pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara jiran.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pergerakan keluar bot-bot kecil dari pulau-pulau di perairan ESSZONE ke tanah besar termasuk pergerakan bot-bot di kawasan pesisiran pantai bagi tujuan membeli makanan dan keperluan asas hanya dibenarkan mulai jam 6.00 pagi hingga 2.00 petang sahaja.

“Bagi bot-bot nelayan dan bot membawa ikan di perairan ESSZONE yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan hanya dibenarkan dari jam 6.00 pagi hingga 6.00 petang (di jeti-jeti yang dibenarkan sahaja).

“Kebenaran ini tertakluk kepada permit yang dikeluarkan oleh ketua polis daerah berkenaan,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung melalui Facebook, hari ini.

Beliau menambah, semua kapal bukan konvensional dari Indonesia dan Filipina yang memasuki perairan ESSZONE, Sabah, Malaysia bagi tujuan aktiviti Barter Trade dan Transhipment adalah tidak dibenarkan.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 381 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, seramai 370 individu telah dikompaun, sembilan individu direman dan dua orang dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk tidak memakai pelitup muka (144), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (125), penjarakan fizikal (68), aktiviti di pusat hiburan (32), keluar rumah di kawasan PKPDB (Sabah) tanpa alasan munasabah (7), langgar perintah kuarantin (2), tangkapan PATI (2) dan masuk kawasan PKPDB Sabah tanpa alasan munasabah (1),” katanya.

Sementara itu, Operasi Benteng semalam menyaksikan pihak berkuasa berjaya menahan 57 PATI serta berjaya merampas sembilan kenderaan darat dalam 102 sekatan jalan raya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.