Hajiji pula positif COVID-19

219

9 OKT: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor menjadi pemimpin politik terbaru yang disahkan positif COVID-19.

Setiausaha Perhubungan Awam kepada Ketua Menteri, Effendi Mohamed Sunoh berkata, Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman itu kini menjalani kuarantin wajib di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.

“Semasa dalam kuarantin kendiri tersebut, beliau menjalani ujian COVID-19 sekali lagi. Hasil ujian terbaru mengesahkan beliau didapati positif.

“Hajiji kini menjalani rawatan di Hospital Queen Elizabeth bagi rawatan seterusnya dan kesihatannya baik serta stabil,” katanya dalam kenyataan lewat malam ini.

Tambah Effendi, walaupun sedang menjalani rawatan, Hajiji masih menjalankan tugas dan tanggungjawabnya di tempat rawatan, menerusi panggilan telefon dan sidang video selain pentadbiran kerajaan Nngeri berfungsi seperti biasa.

Sehubungan itu, Hajiji turut mengajak seluruh rakyat Sabah agar bertenang dan bersama-sama berdoa agar Sabah dan Malaysia selamat daripada COVID-19.

Semalam, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong dalam satu kenyataan memaklumkan Hajiji menjalani kuarantin kendiri selama dua minggu.

Kata Safar, langkah itu dibuat secara sukarela oleh Hajiji setelah beliau terdedah kepada individu positif COVID-19.

Safar turut memaklumkan kerajaan negeri berfungsi seperti biasa dan sebarang mesyuarat akan dilakukan melalui sidang video.

Sebelum ini, beberapa pimpinan politik yang terlibat dengan kempen PRN Sabah termasuk dua ADUN di Selangor dan seorang di Johor disahkan positif COVID-19.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.