Elak pembelian panik di kawasan PKPB

36

9 OKT: Bekalan barangan keperluan di Sandakan, Papar dan Tuaran, Sabah serta Klang, Selangor yang ketika ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dijamin mencukupi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi, berkata penduduk di kawasan berkenaan tidak perlu membuat pembelian panik kerana tiada keperluan untuk mereka menyimpan barangan berlebihan.

“Pembelian panik hanya akan menyebabkan bekalan barangan habis lebih cepat di sesuatu premis daripada sepatutnya sementara menunggu pengisian semula barangan yang berkaitan di premis.

“Pembelian panik akan mengundang pelbagai masalah sampingan kepada pengguna dari segi perbelanjaan isi rumah dan pembaziran disebabkan tarikh luput sesuatu barangan yang dibeli tanpa penelitian.

“Saya meminta semua pihak supaya kekal bertenang dan bersikap rasional. Peniaga juga diingatkan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga jualan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan penguatkuasaan PKPB di Sandakan, Papar, Tuaran dan Klang bermula hari ini susulan peningkatan kes COVID-19 di kawasan berkenaan.

Alexander berkata, beliau yakin tiada gangguan bekalan akan berlaku di empat daerah berkenaan memandangkan PKPB hanya membabitkan kawasan terhad, selain jaminan Kementerian Pengangkutan semua kenderaan komersial bagi mengangkut barangan dibenarkan terus beroperasi seperti biasa.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.