6 kematian, 3 kluster baru dan 68 di ICU

552

9 OKT: Sebanyak 354 kes baru COVID-19 dilaporkan hari ini dengan Sabah terus mencatatkan angka yang tinggi dengan 274 kes.

Jumlah itu yang bersamaan dengan 77 peratus kes baru hari ini itu adalah disebabkan lebih banyak aktiviti saringan di lapangan oleh pihak berkuasa.

Dan mendukacitakan apabila terdapat enam kematian dilaporkan akibat COVID-19 hari ini manakala tiga lagi kluster dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kedah yang sebelum ini melaporkan banyak kes baru pula telah mencatatkan penurunan ketara apabila hanya 10 kes baru dilaporkan hari ini.

Kata beliau, ini susulan kejayaan kesihatan awam bagi Kluster Tembok yang melibatkan kawasan penjara di negeri Kedah.

Selain itu, ujarnya, terdapat 23 kes lagi dikesan dalam kalangan mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

“Ini menjadikan sejak 20 September lalu, seramai 324 kes dilaporkan dalam kalangan individu yang pulang dari negeri itu.

“Kes baru di Lembah Klang pula merangkumi 10.2 peratus daripada penularan yang dilaporkan hari ini dengan Selangor mencatatkan 24 kes, diikuti Kuala Lumpur 10 kes dan Putrajaya, dua kes.

“Keseluruhannya daripada 354 kes baru hari ini, dua kes adalah penularan dari luar negara melibatkan kepulangan dari India dan Oman,” katanya dalam sidang akhbar yang disiarkan menerusi Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Sementara itu, kata Noor Hisham, jumlah kes yang dirawat Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat kepada 68 kes dengan 25 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, dukacita dimaklumkan terdapat enam kes kematian akibat COVID-19 hari ini yang menjadikan jumlah kumulatif kematian adalah sebanyak 152 kes.

“Kes kematian ke-147 melibatkan seorang lelaki berusia 54 tahun di Hospital Tawau manakala kes ke-148 pula seorang lelaki berusia 68 tahun di Hospital Semporna.

“Kes kematian berikutnya pula seorang wanita berumur 66 tahun dan meninggal di Hospital Kota Kinabalu. Kes ke-150 juga seorang wanita berumur 58 tahun, meninggal dunia di Hospital Tawau.

“Kes ke-151, wanita berusia 57 tahun meninggal dunia di Hospital Semporna manakala yang terakhir, seorang lelaki berusia 64 tahun meninggal dunia di Hospital Kota Kinabalu.

“KKM mengucapkan takziah kepada semua keluarga terlibat,” katanya.

Katanya, tiga kluster baru yang dikesan hari ini pula masing-masing satu di Sabah, Perak dan Terengganu.

Jelas beliau, kluster pertama adalah kluster Atap di Kota Kinabalu yang dikesan hasil saringan bergejala kepada kes indeks dan sehingga tengah hari tadi, sebanyak empat kes dikesan positif.

Katanya, kluster kedua adalah Kluster Bah Lada di Perak melibatkan dua daerah iaitu di Hilir Perak dan Perak Tengah yang dikesan melibatkan saringan mereka yang pulang dari Sabah.

“Sehingga tengah hari tadi, empat kes dikesan positif dalam kluster ini.

“Kluster ketiga ialah Bah Sahabat di Marang dan Kuala Nerus, Terengganu. Kes indeks dikesan positif hasil saringan ke atas individu yang baru pulang dari Sabah. Setakat ini, 10 kes dikesan positif daripada kluster ini,” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.