Komplot Anwar jatuhkan PN cetus kemarahan rakyat

131

8 OKT: Kedegilan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan komplot menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan menjejaskan kestabilan politik negara justeru boleh membangkitkan kemarahan rakyat.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, Anwar sepatut mengutamakan kebajikan rakyat dalam situasi yang masih belum stabil akibat pandemik COVID-19.

“Tolonglah sensitif dan peka dengan masalah yang dihadapi rakyat. Ada yang hilang kerja dan penamatan tempoh moratorium menambahkan lagi beban rakyat.

“Saya mengatakan kerajaan Anwar Ibrahim adalah kerajaan ‘halimunan’ kerana hingga ke hari ini beliau tidak lagi mendedahkan jumlah sokongan terhadapnya,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebook miliknya, hari ini.

najmil faiz
NAJMIL FAIZ MOHAMED ARIS

Media melaporkan Anwar sedang menunggu tarikh baharu untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada 23 September lalu, Anwar mendakwa beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen yang mencukupi bagi membentuk gabungan kerajaan baharu namun sehingga kini, beliau tidak menyatakan dengan jelas jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Najmil Faiz yang juga merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Terengganu memberitahu, rakyat tidak sanggup lagi menghadapi pertukaran kerajaan dan krisis kepimpinan dalam menghadapi pandemik COVID-19 ini.

“Fokuslah tentang isu rakyat buat masa ini. Ini bukan masanya untuk kemaruk kuasa dan mengejar kepentingan peribadi. Tolong jaga sensitiviti rakyat!” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.