Elak penularan, BN tak letak calon di PRK Batu Sapi

623

8 OKT: Barisan Nasional (BN) mengambil keputusan untuk tidak menyertai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi yang perlu diadakan mengikut Perlembagaan Persekutuan setelah kematian penyandangnya, Datuk V.K Liew minggu lalu.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan ini dibuat kerana BN merasakan perlu bagi mengelakkan penularan COVID-19 sekiranya PRK itu diadakan.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, ini sebagaimana yang dialami sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu.

“BN menyerahkan kepada kebijaksanaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memutuskan tempoh berkempen dan kesesuaian tarikh pengundian yang akan dilakukan kelak.

“Pada hemat BN, kesejahteraan dan kesihatan rakyat hendaklah menjadi keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

SPR akan bermesyuarat Selasa ini bagi membincangkan tarikh penting untuk PRK Batu Sapi yang kosong setelah kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong.

Vui Keong yang juga pemimpin kanan Parti Warisan Sabah (Warisan) meninggal dunia akibat radang paru-paru minggu lalu di sebuah pusat perubatan di Kota Kinabalu.

Sebelum ini, Pergerakan Pemuda UMNO mengesyorkan supaya BN dan Perikatan Nasional (PN) tidak meletakkan calon pada PRK itu.

Ini berikutan penularan wabak COVID-19 di Sabah khususnya di timur negeri itu. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.