Ekonomi semakin pulih, hasil inisiatif kerajaan

27

8 OKT: Ekonomi Malaysia sedang mencatatkan penambahbaikan dari pelbagai perspektif dan indikator, hasil inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, antara indikator tersebut adalah penurunan angka pengangguran, peningkatan indeks perdagangan runcit dan borong, pertambahan pelaburan asing langsung dan peningkatan produktiviti dalam industri pembuatan dan pembinaan.

“Antara faktor yang menyumbang kepada pemulihan ekonomi adalah pelaksanaan bantuan dan langkah di bawah PRIHATIN dan PENJANA, tetapi tidak dilupakan, usaha rakyat Malaysia dan peniaga-peniaga yang mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang telah ditetapkan.

“Saya berterima kasih kepada rakyat dan peniaga yang memainkan peranan yang penting ini dan moga usaha diteruskan,” katanya dalam Laporan LAKSANA Ke-24 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Tengku Zafrul
TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ

Sehubungan itu, beliau berharap agar momentum pemulihan ekonomi akan dapat dikekalkan dalam Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan di Parlimen pada 6 November depan.

Tengku Zafrul menambah, dalam perjumpaannya dengan pihak berkepentingan pelbagai industri, isu yang sering dibangkitkan adalah sokongan berterusan kerajaan terhadap perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bagi memastikan ketersediaan untuk beroperasi dalam norma baharu serta menjana permintaan daripada pengguna dan pelabur.

Beliau memberitahu, kerajaan juga telah menerima pelbagai cadangan, dan sedang mempertimbangkan kesemuanya, bagi merangka Belanjawan 2021 yang berpaksikan rakyat, perniagaan dan ekonomi.

“Ini adalah demi memastikan kesinambungan pendekatan yang selaras dengan Pakej PRIHATIN dan PENJANA.

“Sesungguhnya, kerajaan amat serius dalam mengekalkan momentum pemulihan ekonomi pada 2020 dan melonjakkannya pada 2021,” jelasnya.

Tengku Zafrul berkata, Malaysia sedang berdepan dengan peningkatan kes harian baharu COVID-19 yang mencecah sehingga tiga angka dengan sebahagian besar daripadanya tertumpu di beberapa kawasan di sekitar Sabah dan Kedah.

Sehubungan itu, menurut beliau, pendekatan yang diambil kerajaan adalah untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat Bersasar (PKPDB).

“Pendekatan ini, antara lain, memastikan keseimbangan antara usaha membendung penularan wabak COVID-19 dan penerusan aktiviti ekonomi.

“Seperti yang disarankan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ekonomi kita perlu terus digerakkan dalam usaha pemulihan serta bagi menjamin kelangsungan hidup rakyat dan kestabilan ekonomi negara,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.