Ekonomi, industri dipastikan tak terjejas sebab PKPB -PM

113

8 OKT: Kerajaan akan pastikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim Klang, tidak akan menjejaskan kegiatan ekonomi dan industri negara termasuk aktiviti perdagangan di Pelabuhan Klang.

Berikutan itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau yang mempengerusikan Mesyuarat Khas, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan COVID-19 menerusi sidang video di kediamannya membuat beberapa keputusan penting berhubung pelaksanaan PKPB di Mukim Klang.

Muhyiddin berkata mesyuarat yang turut disertai Menteri Besar Selangor bersetuju untuk memperincikan lagi dari segi lokaliti memandangkan Mukim Klang yang agak besar.

Perdana Menteri berkata tindakan itu juga mengambil kira maklumat oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor bahawa hanya lokaliti tertentu yang terkesan dengan penularan COVID-19.

“Saya menekankan bahawa kegiatan ekonomi dan industri di kawasan itu termasuk aktiviti perdagangan di Pelabuhan Klang perlu dipastikan tidak terjejas.

“Pelaksanaan PKPB di kawasan itu juga mestilah tidak menjejaskan sektor ekonomi yang sedang pulih, lebih-lebih lagi pekerjaan dan pendapatan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya di sini, sebentar tadi.

Dalam mesyuarat berkenaan, Muhyiddin berkata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melaporkan pihak industri bersedia untuk terus beroperasi dengan melaksanakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi membendung penularan pandemik ini.

Perdana Menteri berkata mesyuarat berkenaan juga memutuskan untuk melaksanakan SOP yang lebih ketat termasuk mewajibkan ujian ‘swab’ saringan COVID-19 ke atas semua banduan baharu di samping menempatkan mereka di tempat berasingan yang diwartakan sebagai ‘penjara sementara’ sehingga keputusan ujian diperolehi.

“Sekiranya hasil ujian didapati positif COVID-19, banduan terbabit akan dihantar terus ke hospital manakala, mereka yang negatif akan tetap dikuarantin di ‘penjara sementara’ selama 14 hari sebelum dipindahkan ke penjara kekal.

“Sekiranya bergejala, mereka juga akan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan walaupun diuji negatif.

“Bagi mengelakkan jangkitan dalam kalangan banduan reman pula, mesyuarat memutuskan agar sebutan kes di mahkamah dijalankan secara dalam talian,” katanya.

Mengenai situasi pandemik ini di Sabah terutama di kawasan Pantai Timur, Muhyiddin berkata kapasiti sumber manusia, peralatan dan logistik akan dipertingkatkan termasuk di hospital-hospital.

Katanya, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah bersedia bagi memenuhi keperluan logistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di negeri itu.

“Saya percaya para petugas barisan hadapan termasuk agensi di bawah KKM, Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Perdana Menteri dan lain-lain akan menggunakan segala kepakaran dan pengalaman sebelum ini untuk bersama-sama kita melandaikan lengkungan COVID-19.

“Yang penting, kita semua mesti bersatu hati dalam menghadapi detik mencabar ini. Insya-Allah,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.