Bukti sokongan, kembali ke Dewan Rakyat antara pilihan

263

APA akan terjadi jika Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri seperti didakwa ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Selasa ini?

Satu sudut, Perdana Menteri pada masa sama boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan satu pilihan raya umum (PRU) baru diadakan seperti mana peruntukan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Namun, dalam keadaan wabak COVID-19 yang kembali memuncak, PRU pastinya bukan satu pilihan di mata rakyat. Pilihan lain adalah menyerahkan kepada 221 Ahli Parlimen (kerusi Parlimen Batu Sapi masih kosong) membuat keputusan menentukan siapakah dalam kalangan mereka mendapat kepercayaan untuk dipilih sebagai Perdana Menteri.

Ini bermakna pilihan terbuka bukan sahaja kepada Anwar atau kemungkinan ahli parlimen lain jika ada cadangan dikemukakan.

Segalanya terletak pada semua Ahli Parlimen kerana Perdana Menteri hanya boleh dilantik dalam kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Seri Paduka mempunyai sokongan mojoriti – sekurang-kurangnya 111 sokongan (ketika ini berikutan kekosongan Batu Sapi).

Kepada siapa harus dibuktikan? Tentulah Yang di-Pertuan Agong yang perlu diyakinkan dalam hal ini seperti mana dalam peruntukan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimana hendak meyakinkan Yang di-Pertuan Agong? Itu satu persoalan utama ketika ini. Kemelut politik Februari lalu, seorang demi seorang Ahli Parlimen dipanggil menghadap untuk ditemu duga sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong.

Namun seperti semua maklum, ia tidak dapat menyelesaikan masalah apabila tiada siapa mendapat majoriti sokongan ketika itu.

Maka berlakulah pusingan kedua kemudian, menerusi perakuan berkanun (SD) yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong oleh setiap Presiden parti.

Bagaimanapun seperti disaksikan rakyat Malaysia, SD Ahli Parlimen ini ada pula ‘keluk kelik’, pagi lain, petang lain dan malam mungkin lain.

Maka, timbul pandangan venue sesuai untuk meyakinkan Yang di-Pertuan Agong dalam menjalankan tanggungjawab Perlembagaan melantik Perdana Menteri adalah menerusi Dewan Rakyat.

Sama ada satu sidang khas atau pada mesyuarat yang akan datang yang dijadualkan bermula 2 November ini.

Di Dewan Rakyat nanti, buktikanlah sokongan majoriti Ahli Parlimen telah diperolehi untuk menjadi Perdana Menteri.

Lagi pun ada berpandangan situasi semasa tidak sama dengan yang berlaku Februari lalu yang menyaksikan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan.

Maka terdapat keperluan segera untuk Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri seperti tanggungjawab Seri Paduka menurut Perkara 40 (2) Perlembagaan.

Ketika ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih berada di jawatannya. Tiada siapa melepaskan kedudukan. Cuma ada pihak yang mendakwa mempunyai sokongan.

Dan situasi ini juga kali pertama berlaku di peringkat Persekutuan iaitu dalam keadaan Perdana Menteri masih menjalankan tugasnya sebagai ketua kerajaan tetapi ada Ahli Parlimen mendakwa mempunyai sokongan majoriti.

Dan untuk satu kepastian yang pasti, mengapa tidak dikembalikan venue bagi meyakinkan Yang di-Pertuan Agong itu melalui Parlimen? Kaedah di Dewan Rakyat itu juga selari dengan maksud Perlembagaan.

Rasanya ini pilihan yang sesuai dipertimbangkan. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.