Anwar, tangguhlah dahulu hasrat jadi PM

1,014

8 OKT: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa supaya menangguhkan dahulu komplot menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam situasi penularan COVID-19 yang semakin meningkat di negara ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki merayu kepada Anwar agar memikirkan tentang nasib rakyat yang semakin terhimpit akibat kesan pandemik berkenaan.

“Apakah sudah terhakis rasa belas dan simpati terhadap keresahan dan kepayahan rakyat di semua peringkat ketika ini, yang saban hari memerah keringat bahkan berat memikirkan juadah atas meja, sama ada masih mampu terhidang untuk keluarga?” soalnya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

ASYRAF WAJDI DUSUKI
ASYRAF WAJDI DUSUKI

Terdahulu, Anwar mengesahkan beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada 13 Oktober ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, pada majlis mengadap tersebut, beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang diumumkan sebelum ini.

Kenyataan Anwar itu mencetuskan spekulasi sama ada beliau akan meneruskan komplotnya walaupun dakwaan kononnya sudah mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen masih dipersoalkan pelbagai pihak.

Sehubungan itu, Asyraf Wajdi mengulangi saranan Pemuda UMNO kelmarin supaya semua ahli politik melakukan gencatan politik.

“Tatkala rakyat resah dan gelisah inilah, sewajarnya untuk ahli-ahli politik melangkaui sempadan parti dapat bersolidariti dan menzahirkan jiwa besar mengetepikan perbezaan dan persengketaan demi agenda membantu rakyat,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.