Aliakbar ADUN sulung PAS di Sabah

1,199

8 OKT: Dr Aliakbar Gulasan mencipta sejarah sebagai pemimpin PAS yang pertama dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah.

Sehubungan itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kepercayaan yang diberikan terhadap Aliakbar.

Beliau menambah, PAS menyifatkan pelantikan julung-julung kali ini akan membuka lembaran baharu kepada PAS Sabah bagi menjalin hubungan yang lebih erat dengan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik di negeri berkenaan.

ALIAKBAR GULASAN

“Sesungguhnya keberadaan PAS di Sabah sejak lebih 35 tahun adalah bukti kesungguhan PAS dalam usaha memperkukuh perpaduan, menyemarak pendidikan dan membela kebajikan rakyat, merentasi kaum dan fahaman agama.

“Kepada YB Dr Aliakbar Gulasan dan PAS Sabah, semoga kalian diberikan kekuatan dan pertolongan dalam melaksanakan tanggungjawab ini demi kemaslahatan agama, bangsa dan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Aliakbar yang juga Setiausaha Perhubungan PAS Sabah merupakan salah seorang daripada enam ADUN (Dilantik) yang mengangkat sumpah jawatan di Istana Negeri Sabah, pagi tadi.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ni, PAS tidak meletakkan calon untuk bertanding bagi memberi laluan kepada sekutu-sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN). – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.