270 kertas siasatan berita palsu COVID-19

141

8 OKT: Sebanyak 270 kertas siasatan telah dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung berita palsu berkaitan COVID-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 133 kes masih dalam siasatan, 35 kes telah didakwa di mahkamah, 19 kes telah mengaku salah dan 12 kes diberikan notis amaran.

“Dalam masa yang sama sebanyak 384 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu telah diperjelaskan kepada orang ramai oleh Pasukan Respon Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita palsu berkaitan COVID-19,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung melalui Facebook, hari ini.

Beliau turut mengingatkan supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya dan sentiasa menyemak terlebih dahulu kesahihan sesuatu berita daripada sumber yang rasmi atau boleh dipercayai.

Ismail Sabri menegaskan, kerajaan melalui PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sentiasa komited menangani penyebaran berita palsu dan tidak akan bertoleransi terhadap mana-mana pihak yang melakukan perkara ini sehingga menyebabkan panik kepada orang awam seterusnya menimbulkan kekecohan kepada negara.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan kandungan berita yang tidak sahih tanpa mengira latar belakang,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, PDRM telah menahan semalam 420 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Daripada jumlah itu, seramai 380 individu telah dikompaun, 39 individu pula direman dan seorang dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk penjarakan fizikal (145), tidak memakai pelitup muka (117), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (96), aktiviti di pusat hiburan (26), keluar rumah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tanpa alasan munasabah (26), premis beroperasi lebih masa (6), bekerja tanpa permit yang sah (3) dan menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah (1),” jelasnya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, seramai 31 pendatang asing tanpa izin, seorang tekong dan seorang penyeludup ditahan manakala 11 kenderaan darat dirampas pasukan keselamatan dalam Ops Benteng semalam.

Beliau menambah, pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah melakukan 1,866 pemeriksaan khas Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP dan mendapati 1,821 premis mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Sebanyak 44 premis diberi nasihat dan satu premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.