1,000 pekerja kilang pelitup muka positif COVID-19

280

8 OKT: Lebih 1,000 pekerja di sebuah kilang yang menghasilkan pelitup muka pembedahan di Sri Lanka dikesan positif COVID-19.

Memetik laporan AFP, setakat Ogos lalu, pelitup muka keluaran kilang berkenaan dipasarkan ke Amerika Syarikat (AS).

Pihak berkuasa Sri Lanka sedang mengesan punca utama jangkitan virus tersebut.

Kes COVID-19 di negara itu semakin meningkat sejak ujian positif pertama dikesan di kilang pakaian berkenaan tiga hari lalu, menyebabkan jumlah jangkitan melonjak hampir 4,500 kes di Sri Lanka.

Pemilik kilang Brandix, yang mendapat pujian antarabangsa kerana amalan lestari berkata, usaha mengawal penyebaran jangkitan di premisnya berhampiran Colombo itu amat menyukarkan kerana terdapat sejumlah besar adalah pembawa tanpa gejala.

“Sebilangan besar kes positif terbukti tidak menunjukkan simptom atau sebarang gejala berkaitan COVID-19,” kata firma itu dalam satu kenyataan kelmarin.

Ketua ahli epidemiologi Sri Lanka, Sudath Samaraweera pula meminta masyarakat setempat bekerjasama dengan pihak berkuasa di sebalik kebimbangan wabak itu dapat merebak lebih jauh.

“Kami berusaha untuk mengesan bagaimana virus itu masuk dan ada kemungkinan kami akan berjaya atau mungkin tidak,” katanya kepada wartawan di Colombo.

Sebelum ini, kerajaan negara itu memaklumkan tiada penyebaran dalam komuniti di negara dihuni 21 juta orang itu.

Pihak berkuasa berkata, 1,026 pekerja yang positif COVID-19 di kilang mempunyai 1,700 pekerja itu sudah berada di hospital manakala baki pekerja dan ahli keluarga pekerja sedang dipindahkan ke pusat kuarantin kerajaan.

Kesemua mereka akan menjalani saringan termasuk masyarakat setempat di sekitar kilang berkenaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.