Puak Rohingya bergaduh, 4 mangsa terbunuh

3,096

7 OKT: Sekurang-kurangnya empat pelarian Rohingya maut dan puluhan lain cedera dalam perbalahan antara dua puak di kem perlindungan sementara pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh.

Agensi berita Anadolu melaporkan, Pesuruhjaya Bantuan Pelarian dan Pemulangan Tambahan, Mohammad Shamsu Douza berkata, perbalahan, pertempuran balas dan tembakan berlaku semalam di kem pelarian Kutupalong di Ukhia, Cox’s Bazar.

“Ia berterusan sepanjang malam tetapi jumlah yang cedera masih belum dapat dipastikan.

“Sebelum pertempuran maut ini berlaku, pihak berkuasa menahan sembilan etnik Rohingya atas tuduhan jenayah yang berlainan.

“Pihak penguatkuasaan undang-undang, termasuk tentera, unit antikeganasan dan polis sedang berusaha mengawal keadaan,” katanya kepada stesen televisyen tempatan Somoy News.

Beliau menambah, tiga etnik Rohingya terbunuh dalam pertempuran antara dua puak untuk merebut kawasan dalam kem itu sejak beberapa hari lalu.

Sementara itu, pengurus kem, Mahfuzur Rahman menjelaskan kepada wartawan bahawa 500 keluarga Rohingya dipindahkan dari Kem 1 kerana bimbang berlaku pertempuran dan mereka kini berlindung di rumah saudara-mara di kem lain.

Beliau memberitahu, keluarga Rohingya terbabit hanya dapat kembali ke rumah mereka selepas keadaan kembali normal kerana ketegangan masih memuncak di kem.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.